Memperkukuh mekanisma pembangunan dasar, ambilkira inputs, pandangan rakyat

12 Og 2026 - 8:33am

Oleh : Muhammad Zulkamal Awang Haji Kamis

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 11 Ogos. - Wawasan Brunei 2035 menetapkan hala tuju pembangunan negara, manakala kerangka kerjanya memperkukuh pensejajaran antara Matlamat Wawasan, Keutamaan Negara, Hasil-Hasil Pencapaian Kebangsaan dan Petunjuk Prestasi Utama Kebangsaan (National KPIs) yang berkaitan.

Pelaksanaannya pula, disokong oleh Manpower Blueprint, Social Blueprint dan Economic Blueprint. Meskipun fokusnya yang berbeza, ketiga-tiga blueprint saling berkait melalui elemen bersama (common elements) seperti keupayaan institusi, tadbir urus yang berkesan, penyelarasan antara agensi, penggunaan sumber secara berkesan serta pelaksanaan dasar dan program yang berorientasikan hasil (outcome oriented programmes).

Ini bermakna, pencapaian Wawasan bukan sahaja bergantung kepada perancangan yang baik, tetapi juga kepada keupayaan jentera kerajaan untuk menghubungkan dasar kepada tindakan dan tindakan kepada hasil yang dihasratkan.

Demikian antara yang diujarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad semasa menyampaikan perbahasan usul penangguhan pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, petang tadi.

Dalam konteks ini, tambah Yang Berhormat lagi, Perkhidmatan Awam berperanan memperkukuh tadbir urus dan penyelarasan bagi memastikan dasar dan perkhidmatan dilaksanakan dengan berkesan, tanpa menjejaskan tanggungjawab kementerian dan agensi dalam bidang masing-masing.

"Penyelarasan dalam konteks ini bukanlah matlamat akhir, tetapi wasilah untuk menghasilkan tindakan yang lebih tersusun, pelaksanaan yang lebih terarah dan penyelesaian yang lebih berkesan, khususnya bagi isu yang merentas tanggungjawab beberapa kementerian dan agensi.

"Tanpa penyelarasan yang berkesan, usaha boleh bertindih atau, lebih membimbangkan, meninggalkan ruang kelemahan atau vulnerability yang tidak disedari yang tidak ditangani oleh mana-mana pihak. Oleh itu, tindakan setiap agensi perlu saling melengkapi dan bergerak ke arah hasil yang sama," ujar Yang Berhormat.

Bagi masyarakat pula, jelas Yang Berhormat, keberkesanan kerajaan sering kali dirasai melalui pengalaman harian mereka, ketika berurusan untuk sesuatu perkhidmatan, membuat permohonan, mencari maklumat, menggunakan kemudahan awam atau mencari jalan penyelesaian bagi sesuatu masalah.

Di sinilah pelaksanaan dasar dan inisiatif kerajaan sebenarnya diuji dan dirasai oleh rakyat. Sehubungan itu, pihak kerajaan akan terus memperkukuh mekanisme pembangunan dasar dengan mengambil kira inputs dan pandangan rakyat, agar setiap dasar yang digubal akan benar-benar menepati keperluan rakyat dan memberikan impak yang bermakna kepada kehidupan mereka.

"Justeru, setiap penambahbaikan yang dilaksanakan mestilah membawa kepada pengalaman pengguna yang baik - merangkumi urusan yang lebih ringkas, proses yang lebih cekap, maklumat yang jelas, tindak balas yang responsif serta penyelesaian yang berkesan bagi setiap masalah yang dihadapi," ujar Yang Berhormat.

Dalam pada itu, Yang Berhormat ingin menekankan pendirian serius pihak kerajaan untuk melaksanakan Wawasan Brunei 2035 dengan sebaiknya dan berkesan agar hasilnya nanti akan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat dan pendidik di NBD.

Ini bukan sekadar retorik. Tidak ada sebab bagi mana-mana pihak meragui atau menanamkan walau setitik pun keraguan terhadap usaha dan niat ikhlas atau level of seriousness pihak kerajaan dalam mencapai objektif ini.

"Demikianlah, antara yang dapat kita rumuskan daripada perbahasan ini adalah penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 tidak boleh terhenti  pada peringkat dasar dan perancangan, tetapi perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan, penyampaian dan akhirnya mencapai hasil yang dihasratkan," tekan Yang Berhormat.

Wawasan Brunei 2035 akan membawa makna yang paling besar apabila rakyat dan penduduk dapat melihat dan merasakan kemajuan tersebut, melalui peluang yang terbuka, perkhidmatan yang diterima, kesejahteraan yang dinikmati serta keyakinan bersama terhadap masa depan negara.

"InsyaaAllah, di bawah kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat serta kemakmuran dan kestabilan negara, serta komitmen seluruh jentera kerajaan dan kerjasama semua lapisan masyarakat, usaha pembangunan negara akan terus membawa kemajuan yang bermakna dan kesejahteraan yang berpanjangan kepada rakyat dan penduduk NBD.

"Sebelum mengakhiri, marilah kitani semua sama-sama mendoakan semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri serta seluruh kerabat diraja akan dikurniakan umur yang panjang, nikmat kesihatan, kesejahteraan dan kebahagiaan dan sentiasa dalam rahmat dan perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala jua. Amin Ya Rabbal Alamin.

"Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas kepimpinan yang mantap, kewibawaan, kebijaksanaan serta kesabaran dalam meneraju dan membimbing semua Ahli-ahli Yang Berhormat di dewan yang mulia ini di sepanjang permesyuaratan ini," ujar Yang Berhormat lagi.

Dalam masa yang sama, Yang Berhormat turut memberikan ucapan penghargaan dan terima kasih ditujukan kepada Jurutulis dan Pemangku Timbalan Jurutulis serta seluruh pegawai dan kakitangan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat yang telah mengatur serta memastikan perjalanan MMN ini berlangsung dengan teratur dan jayanya.