Memperkukuh institusi kekeluargaan, menggalakkan gaya hidup sihat

3 Og 2026 - 6:34am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 2 Ogos. - Kumpulan Belia Masjid Ash-Shaliheen dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Ash-Shaliheen hari ini menganjurkan Program Masjidku Ceria bertemakan 'Masjidku Ceria, Keluargaku Bahagia', yang digabungkan bersama Program 3S : Subuh, Sihat, Solat.

Program berkenaan bertujuan untuk mengimarahkan masjid sebagai pusat ibadah, penyebaran ilmu dan pembangunan komuniti di samping memperkukuh institusi kekeluargaan serta menggalakkan gaya hidup sihat.

Program dibukakan kepada orang ramai dan berjaya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada keluarga, belia serta masyarakat setempat.

Program juga diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat majlis, Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Asminan bin Haji Chuchu, yang turut menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Masjidku Ceria dan Program 3S.

Turut diadakan ialah Kuliah Subuh bertajuk 'Dari Subuh Ke Syurga : Membina Keluarga Cinta Masjid' yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Muhamad Abduh, dari Universiti Brunei Darussalam (UBD). 

Sepanjang program berlangsung, para pengunjung berpeluang menyertai walkaton, menyaksikan reruai pameran daripada agensi kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan kumpulan belia masjid, di samping pelbagai aktiviti kekeluargaan serta cabutan bertuah.

Dalam pada itu, pihak penganjur berharap program berkenaan akan terus menjadi platform dalam mengeratkan silaturahim, menggalakkan masyarakat mengimarahkan masjid serta membudayakan gaya hidup sihat berteraskan nilai-nilai Islam.