Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 30 Julai. - Ke arah mendukung Wawasan Brunei 2035 dalam melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh kecemerlangan akademik dan pembangunan sahsiah pelajar.
Sehubungan itu, Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah (STAHB) mengungkayahkan Program Ilal Majdi Wal ‘Ula (Ke Arah Ketinggian dan Kemuliaan) bertemakan ‘Tariq al-Abtal’ (Laluan Para Juara) yang diadakan di sekolah berkenaan pada pagi tadi.
Hadir selaku tetamu khas majlis, Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (JAMA'AT), Kementerian Pertahanan, Leftenen Kolonel Abdul Mujib bin Haji Japar.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengetua STAHB, Dayang Hajah Azizah binti Haji Mohammad.
Majlis diteruskan dengan pelancaran program, tayangan video pelancaran, pertandingan Amazing Race ‘The Vanishing Numbers’, lawatan ke pameran akademik serta pengumuman keputusan pertandingan.
Program berkenaan bertujuan untuk memperkaya pengalaman pembelajaran melalui pendekatan ulang kaji yang interaktif, di samping menggalakkan pemikiran kritis, kreativiti, pembelajaran kolaboratif serta semangat kerja berpasukan dalam kalangan pelajar.
Penganjurannya turut mencerminkan komitmen berterusan JPI dalam membudayakan pembelajaran yang inovatif dan melahirkan pelajar yang berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran pendidikan masa kini.