Memperkasa permuzakarahan, kerjasama berteraskan MIB

12 Og 2026 - 7:38am

Oleh : Dk. Hajah Naqayatul Akma Pg. Haji Ali

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman, Azmah Haji Ahad

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 11 Ogos. - Sikap setia kawan dan kesepaduan yang ditunjukkan oleh semua Ahli Majlis mencerminkan keunikan dewan ini. Ia mempraktikkan amalan permuzakarahan, bekerjasama dengan menanai prinsip Melayu Islam Beraja ke arah mengutamakan keputusan yang terbaik dan bermanfaat bagi kebajikan rakyat serta kemakmuran negara di bawah pimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Pada persidangan sesi kedua tahun ini, kita secara khusus dan terperinci telah membahaskan satu agenda utama yang berkaitan dengan inisiatif-inisiatif penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.

Agenda pembangunan ini adalah sangat penting kerana ia bukan sahaja berkait langsung dengan aspirasi dan hala tuju negara malahan bertindak sebagai asas kestabilan geopolitik, sosioekonomi, kemakmuran, kesejahteraan dan keselamatan negara serta rakyat dan penduduk di dalamnya.

Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim berucap sedemikian semasa perbahasan usul pada hari keenam Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, pagi tadi.

Jika diamat-amati dari hasil perbincangan terang Yang Berhormat, dewan yang mulia ini tidaklah ketandusan dalam menzahirkan cadangan dan idea-idea baru, bernas dan membina, strategik lagi positif berasaskan situasi semasa.

“Kita juga secara spesifik dan terbuka telah mengetengahkan maklum balas dari rakyat di samping mengajukan cadangan bagi ‘way forward’ pada membantu menangani isu-isu semasa yang ditimbulkan.

“Sebagai nilai tambah, kita juga telah mencadangkan beberapa langkah strategik dan ‘forward looking’ ke arah meningkatkan ‘effectiveness’ sistem perlaksanaan, sistem pemantauan dan penelitian semula beberapa aspek yang terdapat dalam wawasan ini agar ianya lebih ‘result-oriented’,” jelas Yang Berhormat.

Yang Berhormat seterusnya berkata, kita menghargai bahawa banyak usaha inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam mencapai wawasan setakat ini.

Begitu juga, kita mengakui akan pentingnya untuk mengukuhkan pensejajaran, koordinasi dan integrasi agensi-agensi yang berkepentingan supaya perlaksanaannya akan lebih cepat dan terarah bagi menghasilkan kesan yang signifikan dan menyeluruh.

Ia juga mengelakkan pertindihan bidang tugas dan pembaziran sumber serta menyedari bahawa salah satu perkara utama ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035 ialah kesepaduan, kesepakatan dan komitmen tinggi kita semua selaku rakyat dan penduduk di negara ini dalam menyokong dan menterjemahkan idea-idea untuk menjadi satu realiti yang akan dapat mencetuskan impak positif yang dihasratkan terang Yang Berhormat.

Ujar Yang Berhormat lagi, apa yang penting ialah penglibatan rakyat di semua peringkat ke arah mencapai matlamat yang termaktub dalam wawasan ini menurut peranan dan kemampuan masing-masing.

Ke arah itu, Yang Berhormat mencadangkan supaya isu-isu dan saranan yang membina dalam perbahasan kita ini akan diteliti secara mendalam kesesuaiannya. Mana-mana dasar, peraturan dan program yang dapat membuahkan hasil yang segera yakni ‘low-hanging fruits’ akan dilaksanakan secepat mungkin agar faedahnya akan dapat dirasai oleh rakyat dan penduduk negara ini.

Manakala tambah Yang Berhormat, cadangan yang ‘viable’ yang memerlukan penelitian lanjut akan dianalisis kebolehlaksanaannya dilibatkan berkepentingan agensi-agensi bagi dan yang menghasilkan program projek yang ‘integrated’, kukuh dan mantap, lebih-lebih lagi negara sudah mempunyai Yang Berhormat Menteri-Menteri Penyelaras yang diberi mandat jelas bagi menyelaraskan perancangan dan perlaksanaan isu-isu kertas sektor. Ini bagi memastikan pelaksanaannya yang akan berjalan lancar dan menurut sasaran yang telah ditetapkan.

“Alhamdulillah, Sesi Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN ini, secara keseluruhannya juga telah menyaksikan beberapa pengemaskinian dan pelaksanaan dasar-dasar baharu yang memberikan isyarat positif dan impak luas ke arah kemajuan negara.

“Ia bukan sahaja menyuntik semangat jitu kepada masyarakat peniaga pengusaha tempatan serta rakyat dan penduduk, malahan ianya juga menunjukkan kesungguhan yakni ‘seriousness’ dan komitmen negara dalam usaha menarik lebih ramai lagi Pelabur Langsung Asing untuk berganding bahu dengan pengusaha tempatan bagi sama-sama mengaktifkan dan merancang aktiviti ekonomi negara setanding dengan negara-negara jiran di rantau ini,” ujar Yang Berhormat.

Kongsi Yang Berhormat, langkah ini adalah bertujuan untuk rakyat di semua peringkat akan dapat merasai kemajuan, keamanan dan kemakmuran negara dari apa jua dasar, program dan projek yang dirancang dan dilaksanakan di bawah kepimpinan bijaksana dan berwawasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaras dengan matlamat yang disasarkan Wawasan Brunei 2035.

Yang Berhormat yakin kesan positif dari hasil penyusunan jemaah menteri yang baharu akan membuahkan pengenalan dasar-dasar dan peraturan yang insyaaAllah akan memberikan kesan limpahan berganda kepada negara secara holistik.

Oleh itu Yang Berhormat berharap, maklum balas yang disampaikan oleh Ahli Yang Di-lantik ini, akan diterima secara positif, membina dengan fikiran terbuka supaya apa jua dasar yang bakal digubal nanti akan lebih mantap, kukuh dan mendapat sokongan sepenuhnya dari sumber lapisan rakyat dan penduduk negara ini sebagai pendekatan senegara, yang pentingnya juga, apa jua dasar dan peraturan baru yang digubal dan dilaksanakan nanti, akan di‘follow through’ yakni ‘cascading downward’ di setiap peringkat pelaksanaan secara jelas dan telus bagi mengelakkan interpretasi berbeza yang boleh saja melambatkan proses dan kebenaran.

“Usaha mempercepatkan proses melalui amalan ‘be ready’ yakni ‘business ready’ ini juga diharap memperbaiki akan ekosistem membantu perniagaan negara supaya ia terlebih kondusif, proaktif dan mesra perniagaan.

“Ini insyaaAllah, diharap akan membuka lebih banyak peluang perniagaan perusahaan domestik sekali gus meluaskan lagi asas pendapatan dan ekonomi negara serta mengukuhkan kedudukan fiskal untuk sama-sama dinikmati oleh semua lapisan rakyat dan penduduk melayu, membuka lebih banyak lagi peluang-peluang pekerjaan yang berkualiti di semua peringkat,” tekan Yang Berhormat.

Untuk itu, Yang Berhormat menyokong Usul Penangguhan yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II.