Memperkasa pembangunan, pengurusan harta MUIB secara profesional, mampan, berdaya maju

30 Jul 2026 - 9:32am

Siaran Akhbar dan Foto : Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 29 Julai. - Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam (BTHMUI) telah menyertai Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Brunei dan Muara sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026 yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ’Ali Saifuddien, di ibu negara.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di khemah BTHMUI dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB).

Turut menjunjung keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal selaku Naib Yang Di-Pertua MUIB merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah BTHMUI, bersama Ahli-ahli Lembaga Pengarah, Pemangku Setiausaha MUIB, pengarah, penolong pengarah serta pegawai dan kakitangan BTHMUI.

Kebawah DYMM seterusnya berkenan mendengarkan sembah penerangan ringkas yang disampaikan oleh Pengarah BTHMUI mengenai peranan, fungsi serta inisiatif strategik agensi dalam pembangunan, pengurusan dan pemerkasa harta-harta MUIB.

Selesai mendengarkan sembah penerangan, Kebawah DYMM berkenan bergambar ramai bersama Ahli-ahli Lembaga Pengarah BTHMUI, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam, pengarah dan penolong pengarah serta kakitangan BTHMUI.

Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim kemudiannya mempersembahkan pesambah Kehadapan Majlis Kebawah DYMM sebagai menjunjung kasih sempena keberangkatan baginda ke khemah BTHMUI.

Penyertaan BTHMUI dalam majlis berkenaan mencerminkan komitmen berterusan agensi dalam memperkasa pembangunan dan pengurusan harta-harta MUIB secara profesional, mampan dan berdaya maju, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035 demi kesejahteraan umat Islam dan kemakmuran Negara Brunei Darussalam.