Memperkasa belia wanita berani melangkah ke hadapan

10 Og 2026 - 4:45am

Oleh : Siti Rokiah AbdullahFoto : Ihsan Jabatan Pendidikan Kokurikulum

ANGGEREK DESA, Ahad, 9 Ogos. - Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Beruniform dan Perkhidmatan, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, dengan kerjasama Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD) telah mengadakan Majlis Penutup Perkampungan Kepanduan 2026 di Ibu Pejabat PPPBD, Kampung Anggerek Desa.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang serta sijil dan lencana kepada para peserta ialah Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil.

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Dayang Norazrina binti Haji Sarbini; Ketua Bahagian Beruniform dan Perkhidmatan, Jabatan Pendidikan, Dayang Hajah Rosediana binti Haji Hidop dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Dayang Hajah Noriah binti Haji Dollah.

Perkampungan Kepanduan 2026 disertai oleh seramai 56 ahli Pandu Puteri dan Pandu Puteri Ranjer yang terdiri daripada penuntut sekolah-sekolah menengah, maktab dan pusat tingkatan enam kerajaan di bawah kawalan Kementerian Pendidikan serta sekolah-sekolah Arab di bawah JPI, KHEU.

Program berkenaan dikendalikan oleh ahli jawatankuasa yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Ahli Jawatankuasa Tadbir PPPBD, pemimpin atau guru pengawas Pandu Puteri dan Pandu Puteri Ranjer serta pemimpin muda daripada institusi pengajian tinggi.

Bertemakan ‘Step Out, Fly High’, Perkampungan Kepanduan merupakan program perkhemahan yang berteraskan kaedah pembelajaran tidak formal melalui sistem berkumpulan, bertujuan membentuk potensi diri peserta secara menyeluruh merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan sahsiah.

Tema tersebut mencerminkan aspirasi untuk memperkasa generasi muda wanita agar berani melangkah ke hadapan, berdaya saing dan berani meneroka potensi diri, seterusnya menjadi pemimpin masa hadapan yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara sejajar dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.

Sepanjang program, para peserta didedahkan kepada pelbagai aktiviti yang dirancang bagi meningkatkan pengetahuan serta memperkukuh kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, komunikasi dan kolaborasi.

Program tersebut turut memberi penekanan kepada pembentukan sahsiah peserta agar menjadi individu yang berdisiplin, berkeyakinan tinggi, proaktif dan berdaya tahan, di samping mempunyai semangat kepimpinan serta kebolehan bekerja dalam satu pasukan.

Pelbagai aktiviti yang dilaksanakan sepanjang perkampungan berkenaan turut memperkukuh kemahiran insaniah, memupuk nilai-nilai kepanduan dan menggalakkan pembelajaran secara pengalaman (experiential learning).

Selain membina kemahiran dan jati diri, Perkampungan Kepanduan 2026 juga menjadi platform bagi mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan Ahli Pandu Puteri dan Pandu Puteri Ranjer daripada pelbagai institusi pendidikan di negara ini.

Program seumpama ini diharap akan terus melahirkan generasi muda wanita yang berkeyakinan, berkemahiran dan berjiwa kepimpinan, serta bersedia memainkan peranan aktif dalam pembangunan negara.