Membudayakan amalan bacaan Ratib Al-Attas dalam kehidupan seharian

31 Jul 2026 - 8:07am

Oleh : Marlinawaty Hussin

Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 30 Julai. - Bagi menyemarakkan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026, Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM) dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SHHB) pagi tadi mengadakan Majlis Bacaan Ratib Al-Attas dan Tazkirah.

Majlis diadakan di Masjid Jubli Perak SHHB, Kampung Jangsak, di sini.

Majlis berkenaan diadakan sebagai salah satu pengisian keagamaan sempena sambutan berkenaan, di samping membudayakan amalan bacaan Ratib Al-Attas dalam kehidupan seharian. 

Selain itu, ia juga bertujuan menzahirkan rasa syukur, kasih dan taat setia Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan merafakkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala.

Di samping itu, majlis berkenaan turut menjadi wadah bagi mengeratkan silaturahim dalam kalangan Muslimah masjid.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Norazimah binti Haji Ramlee.

Majlis berkenaan dihasrat akan dapat menyemai rasa cinta kepada Allah Subhanahu Wata'ala melalui penghayatan amalan zikir dan wirid, di samping memperkukuh semangat patriotisme, kasih sayang serta taat setia kepada raja dan negara. 

Selain itu, ia juga diharap dapat mempereratkan ukhuwah dan silaturahim dalam kalangan Muslimah masjid serta terus menyokong aspirasi Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.