Memastikan usaha kerajaan lebih terarah, tersusun, bersepadu

4 Og 2026 - 10:21am

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Pg. Nurhafilah Pg. Osman

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Pelantikan tiga Menteri Penyelaras semasa Rombakan dan Pelantikan Menteri-Menteri Kabinet pada 4 Jun 2026 mencerminkan kebijaksanaan serta keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memastikan usaha serta tindakan kerajaan lebih terarah, tersusun dan bersepadu.

Menteri Penyelaras Bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin berkata demikian ketika membentangkan Usul Menyokong Penyelarasan ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035 pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis.

Terdahulu, Yang Berhormat Menteri Penyelaras Bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kurnia titah pelantikan tiga Menteri Penyelaras iaitu bagi Keselamatan Negara, Dasar-Dasar Ekonomi, serta Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia.

Menurut Yang Berhormat, visi jauh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam amat bertepatan dan strategik, khususnya ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan konflik yang mampu menjejaskan rantaian bekalan global sekali gus memberi kesan kepada negara.

“Penyelarasan yang kukuh bersama kementerian-kementerian dan Menteri-Menteri Penyelaras dapat membantu negara menghadapi cabaran di luar jangkaan secara lebih efisien dan teratur,” jelasnya.

Yang Berhormat berkata, mekanisme penyelarasan yang diperkenankan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui titah semasa Majlis Persidangan Menteri-Menteri Kabinet Ke-92 pada 15 Jun lalu turut memperkukuh pendekatan Whole-of-Government dalam mencapai Wawasan Brunei 2035 agar setiap kementerian tidak lagi bergerak secara berasingan atau silo.

Yang Berhormat menjelaskan, Menteri-Menteri Penyelaras berperanan sebagai penghubung utama dalam menyatukan keutamaan, usaha dan tindakan kerajaan demi mencapai matlamat yang sama ke arah kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.

Menurut Yang Berhormat lagi, tugas penyelarasan melibatkan dasar ekonomi, sosial, tenaga manusia dan keselamatan negara yang saling berkait rapat, justeru kerjasama erat antara semua kementerian amat penting bagi memastikan usaha memelihara keselamatan, keharmonian sosial dan mempelbagaikan ekonomi dapat dilaksanakan secara berkesan.

Yang Berhormat turut menegaskan bahawa pelantikan tersebut merupakan satu amanah besar yang akan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab bagi menjunjung titah Kebawah DYMM serta memperkukuhkan pembangunan ekonomi negara ke arah merealisasikan matlamat ketiga Wawasan Brunei 2035 iaitu Ekonomi Yang Dinamik dan Berdaya Tahan.