Oleh : Marlinawaty Hussin
Foto : Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 21 Julai. - Pelancaran Pelan Strategik Jabatan Perkhidmatan Awam 2026 - 2030 mencerminkan komitmen dan tanggungjawab berterusan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam menyokong kecemerlangan Perkhidmatan Awam (PA) sebagai pemacu pembangunan negara.
Pelancaran pelan berkenaan bertepatan dengan perubahan landskap pentadbiran dan penyampaian PA yang semakin pesat dan kompleks, dengan ekspektasi masyarakat terhadap perkhidmatan kerajaan terus meningkat selaras dengan perkembangan teknologi, perubahan corak pekerjaan serta keperluan penyampaian perkhidmatan yang lebih responsif, cekap dan berkesan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad menyatakan perkara berkenaan semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik Jabatan Perkhidmatan Awam 2026 - 2030 yang berlangsung di Dewan Bankuet, JPM, di sini, hari ini.
Menurut Yang Berhormat lagi, dunia kini berhadapan dengan pelbagai tekanan yang berlaku secara serentak dan saling berkait termasuk ketegangan geopolitik, ketidaktentuan ekonomi global, perubahan iklim, gangguan teknologi serta perubahan sosial yang semakin pantas berubah.
"Kesan daripada perubahan ini turut dirasai oleh sektor awam di seluruh dunia, tidak terkecuali di Negara Brunei Darussalam (NBD).
"Krisis dan gangguan kini berlaku dengan lebih cepat, bertahan lebih lama dan memberi impak yang lebih besar kepada masyarakat dan sistem pentadbiran kerajaan," jelas Yang Berhormat.
Dalam keadaan sedemikian, kata Yang Berhormat, masyarakat mengharapkan PA yang lebih responsif, lebih tangkas, cekap, telus dan mampu bertindak dengan pantas dalam situasi yang kompleks dan tidak menentu.
Justeru, tambah Yang Berhormat lagi, selaku tulang belakang pentadbiran kerajaan, PA memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan kestabilan pentadbiran, keberkesanan pelaksanaan dasar serta kesejahteraan rakyat dan negara terus terpelihara.
"Keupayaan sesebuah negara untuk terus bergerak maju bukan sahaja bergantung kepada perancangan yang baik tetapi juga kepada institusi awam yang diyakini, mempunyai tadbir urus atau governance yang kukuh, berintegriti dan berupaya melaksanakan amanah serta tanggungjawab dengan berkesan," jelas Yang Berhormat.
Yang Berhormat selanjutnya berkata dalam menghadapi cabaran berkenaan, pendekatan pentadbiran yang lebih inovatif, terbuka kepada pembaharuan dan mampu bergerak secara lebih kolaboratif serta berpandangan jauh menjadi semakin penting.
Tambah Yang Berhormat lagi, PA tidak seharusnya terus terikat kepada pendekatan konvensional, sebaliknya perlu berani meneroka pendekatan baharu atau out-of-the-box, menggalakkan budaya inovasi serta sentiasa mencari kaedah yang lebih cekap, pantas dan berimpak tinggi dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat dan negara.
"Dalam konteks ini, Pelan Strategik JPA 2026 - 2030 merupakan satu langkah yang signifikan dalam memastikan JPA selaku agensi fokal pengurusan sumber manusia sektor awam akan terus bersedia menghadapi cabaran dan keperluan masa hadapan.
"Peramba / saya berharap supaya pelan strategik ini akan menjadi salah satu landasan bagi memperkukuhkan lagi keupayaan JPA agar kekal terus relevan dalam mendukung aspirasi pembangunan negara ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035.
"Sehubungan itu, pelaksanaan pelan strategik ini juga wajar sentiasa dinilai dari semasa ke semasa termasuk melalui semakan pertengahan penggal (Mid-Term Review) supaya keutamaan dan pelaksanaannya akan dapat terus diperkemaskan serta diperkukuhkan selaras dengan perubahan persekitaran dan keperluan semasa," ujar Yang Berhormat lagi.
Yang Berhormat juga percaya bahawa kecemerlangan PA tidak hanya bergantung kepada sistem, proses atau teknologi semata-mata, tetapi lebih utama bergantung kepada kualiti warganya.
Justeru, kata Yang Berhormat, usaha memperkukuh pembangunan kapasiti modal insan, meningkatkan kompetensi, kemahiran kepimpinan, literasi digital, budaya pembelajaran sepanjang hayat serta daya inovasi perlu terus diberikan penekanan.
Pada masa yang sama tambah Yang Berhormat lagi, kebajikan warga PA serta penyediaan persekitaran kerja yang kondusif, inklusif, selamat dan menyokong kesejahteraan mental serta fizikal juga perlu terus diperkasa kerana organisasi yang cemerlang lahir daripada warga kerja yang dihargai, bermotivasi dan berdaya tahan.
Yang Berhormat juga menggariskan peranan teknologi dan pendigitalan yang semakin besar dalam memperkukuh keupayaan PA menghadapi masa hadapan. Penggunaan data dan teknologi secara strategik adalah antara pemangkin penting ke arah penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, pembuatan keputusan yang lebih tepat serta pengurusan sumber manusia yang lebih berkesan.
"Inisiatif seperti Sistem Sumber Manusia (SSM) merupakan antara usaha yang dapat menyokong pentadbiran yang lebih bersepadu, berasaskan maklumat dan responsif terhadap keperluan semasa.
"Walau bagaimanapun, dalam memanfaatkan kemajuan teknologi, pendekatan yang seimbang perlu sentiasa diambil kira.
"Perkembangan pendigitalan bukanlah untuk dinafikan, sebaliknya perlu disertai dengan langkah-langkah yang bersesuaian bagi memastikan keselamatan siber terus diperkukuhkan, di samping mengelakkan sebarang penyalahgunaan teknologi dan data agar manfaatnya dapat dinikmati secara bertanggungjawab, selamat dan beretika," ujar Yang Berhormat lagi.