Memastikan hubungan kerjasama dua hala diperkukuh dalam menghadapi cabaran geopolitik

14 Og 2026 - 9:36am

Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

CANBERRA, AUSTRALIA, Khamis, 13 Ogos. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan berangkat ke Majlis Welcome to Country di Parliament House.

Di Courtyard, Parliament House, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Australia, The Honourable Richard Marles MP, bagi Majlis Welcome to Country.

Majlis dimulakan dengan sembah alu-aluan daripada Aunty Serena Williams, seorang Elder. Ini diikuti dengan ‘smoking ceremony’, iaitu budaya tradisi Aboriginal yang mempromosi perlindungan dan kesejahteraan para peserta majlis.

Selepas Majlis Welcome to Country, Duli Yang Teramat Mulia berkenan berangkat ke Majlis Perjumpaan Bersama Menteri Luar Negeri Australia, Senator The Honourable Penny Wong, yang juga diadakan di Parliament House.

Semasa perjumpaan berkenaan, DYTM berkenan mengurniakan sabda bahawa Australia adalah sahabat dan rakan kongsi yang dipercayai melalui Perkongsian Komprehensif di dalam bidang perdagangan, pertahanan, pendidikan dan pertukaran antara rakyat.

DYTM seterusnya bersabda bahawa komitmen kedua-dua buah negara di bawah Kenyataan Bersama Mengenai Keselamatan Tenaga dan Makanan akan terus memastikan hubungan kerjasama dua hala di antara kedua-dua buah negara akan terus kukuh dalam menghadapi cabaran-cabaran geopolitik.

Senator The Honourable Menteri Luar Negeri Australia dalam sembahnya juga mengalu-alukan Kenyataan Bersama berkenaan, dan menekankan kepentingan Negara Brunei Darussalam (NBD) sebagai rakan kongsi yang penting dalam memastikan rantaian bekalan tenaga dan makanan yang berdaya tahan.

DYTM juga mengalu-alukan lebih banyak pelabur Australia ke NBD dan juga menyentuh mengenai potensi kerjasama yang dapat diterokai melalui Southeast Asia Economic Strategy 2040 dan Wawasan Brunei 2035. Kedua-dua belah pihak turut menyatakan rasa puas hati mengenai kerjasama maritim, terutama sekali melalui program-program pembangunan kapasiti.

Seterusnya, DYTM berkenan berangkat ke Majlis Santap Tengah Hari yang dihoskan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Australia, The Honourable Richard Marles MP, bertempat di Pejabat Timbalan Perdana Menteri Australia.

Perdana Menteri Australia, The Honourable Anthony Albanese MP, turut meluangkan masa hadir ke Majlis Santap berkenaan untuk berinteraksi bersama DYTM.