Memantapkan pembangunan modal insan melalui sistem pendidikan, latihan inovatif

6 Og 2026 - 4:47am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji SulaimanFoto : Mohammad Hasif Matzin, Hernie Suliana Haji Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Pembangunan modal insan perlu terus diberi keutamaan kerana kejayaan Wawasan Brunei 2035 bukan sahaja bergantung kepada pembangunan fizikal dan pertumbuhan ekonomi, malah kepada keupayaan rakyat yang berilmu, berkemahiran, berdaya saing serta memiliki nilai-nilai murni.

Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman, Penghulu Mukim Bukit Sawat, menyatakan perkara tersebut ketika menyokong usul penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 semasa Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Menurut Yang Berhormat, perkara tersebut bertepatan dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Keputeraan baginda pada tahun 2024 yang menekankan bahawa golongan belia merupakan tonggak yang sangat diharapkan dan bahawa pembangunan modal insan perlu terus dimantapkan melalui sistem pendidikan dan latihan yang inovatif, di samping mengukuhkan kemahiran dan kebolehpasaran anak-anak tempatan sejajar dengan keperluan industri dan ekonomi.

Sehubungan itu, Yang Berhormat mencadangkan agar usaha-usaha meningkatkan keupayaan dan kemahiran modal insan diperkasakan sejak peringkat awal dengan memperkukuh pendidikan asas melalui penekanan terhadap kemahiran berfikir secara kritis, penyelesaian masalah, kreativiti, komunikasi, literasi digital, keusahawanan serta penguasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Di samping itu, Yang Berhormat menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama antara institusi pendidikan, institusi latihan teknikal dan vokasional serta industri bagi memastikan kemahiran yang dibangunkan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Menyentuh mengenai transformasi digital, Yang Berhormat berkata, Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI) semakin memainkan peranan penting dalam pelbagai aspek kehidupan dan wajar dimanfaatkan sebagai pemangkin pembangunan negara.

Namun demikian, ujar Yang Berhormat, penggunaan AI perlu diseimbangkan dengan pembangunan modal insan, etika serta keselamatan digital.

“AI seharusnya dilihat sebagai satu kemudahan yang mampu meningkatkan produktiviti, mempercepatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan, membantu sektor pendidikan, kesihatan, perusahaan, pertanian, pelancongan dan pelbagai sektor ekonomi yang lain.

“Pada masa yang sama, masyarakat perlu diperlengkapkan dengan kemahiran digital supaya mereka mampu menggunakan teknologi ini secara bertanggungjawab, beretika dan produktif,” ujar Yang Berhormat.

Yang Berhormat menegaskan bahawa penggunaan AI tidak seharusnya menggantikan peranan manusia, sebaliknya menjadi pelengkap yang memperkukuhkan keupayaan tenaga kerja tempatan, meningkatkan inovasi dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi pada masa hadapan.

Pada masa yang sama, Yang Berhormat menyarankan agar Negara Brunei Darussalam mengambil iktibar daripada amalan terbaik negara-negara lain dalam memanfaatkan teknologi dan inovasi untuk memperkukuh pentadbiran, ekonomi serta pembangunan modal insan, dengan mengambil kira keperluan, nilai serta konteks negara.