Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Mohammad Hasif Matzin, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. – Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin menekankan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI) melalui Bahagian Perdagangan dan Hubungan Ekonomi Antarabangsa kerap mengadakan perundingan dan konsultasi bagi mendapatkan kedudukan negara mengenai perjanjian-perjanjian bebas yang akan atau telah ditandatangani dalam memastikan ia selaras dengan dasar dan undang-undang negara yang sedia ada.
Dari aspek perusahaan tempatan pula kata Yang Berhormat, manfaat yang telah dapat diperolehi antara lain adalah akses pasaran global di mana Free Trade Agreements (FTA) dapat meluaskan akses pasaran ke negara-negara rakan-rakan FTA yang merangkumi negara-negara ASEAN, Australia, Kanada, Republik Rakyat China, Chile, Republik India, Jepun, Republik Korea, Mexico, New Zealand, Peru dan United Kingdom.
Perkara itu ditekankan oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri semasa menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin mengenai usaha kementerian bagi memastikan penyertaan negara dalam perjanjian-perjanjian Free Trade Agreements dapat menghasilkan pencapaian ekonomi yang boleh diukur serta manfaat yang boleh dirasai oleh pengusaha tempatan, kerajaan dan rakyat pada hari kedua Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
"Kedua ialah menghapuskan serta mengurangkan tarif bagi barangan-barangan import dan eksport yang memenuhi kriteria peraturan tempat asal, ‘rule of origin’. Contohnya, pengilang tempatan (local producer) akan dapat menikmati penjimatan kos daripada pengurangan atau penghapusan ‘duty custom’ dan seterusnya menjadikan produk-produk tempatan yang dieksport lebih kompetitif di arena antarabangsa. Sebagai contoh, produk tempatan yang telah dapat dieksport dengan menggunakan ASEAN Trade in Goods Agreement, ATIGA ialah produk telur ayam ke Republik Singapura," terang Yang Berhormat lagi.
Dalam pada itu, Negara Brunei Darussalam (NBD) melalui Brunei Fertilizer Industry menurut Yang Berhormat juga telah memanfaatkan ASEAN-Australia-New Zealand Free Trade Area secara berkesan yang mana telah menembusi pasaran Australia dan New Zealand dalam mengeksport ‘granular urea’ dan juga ‘urea’.
Seterusnya, di bawah Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian, Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership, CPTPP, Syarikat BFI, juga kata Yang Berhormat, telah memperluaskan pasaran eksport ‘urea’ ke negara-negara Amerika Latin, Chile dan Peru.
Bahkan, Yang Berhormat menambah, negara juga mampu untuk mengeksport produk-produk besi dan keluli ke Kanada dan Mexico. Contoh-contoh yang diberikan adalah hasil yang ketara yang mana syarikat-syarikat berkenaan telah dapat memanfaatkan perjanjian-perjanjian perdagangan bebas.
Di samping itu tambah Yang Berhormat lagi, kementerian ini juga menekankan kepentingan ‘stakeholder engagement’ bersama agensi-agensi kerajaan, sektor swasta dan persatuan industri. Dengan kerjasama erat bersama pihak Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei, pihak kementerian ini juga mengadakan beberapa sesi pembarigaan sebagai usaha mempromosikan penggunaan sijil tempat asal, Certificate of Origin dan manfaat FTA secara keseluruhan antaranya melalui CPTPP stakeholders' engagement, BIMP-EAGA Business Council, ASEAN-Korean Centre, and Brunei-Hong Kong Seminar.
"Sebagai langkah ke hadapan, satu bengkel diadakan pada akhir tahun ini untuk membarigakan manfaat ATIGA, iaitu ASEAN Trade in Goods Agreement yang telah dinaik taraf kepada agensi-agensi yang relevan termasuk sektor swasta di negara ini," ujar Yang Berhormat.
Yang Berhormat berkata, kementerian ini juga aktif dalam menyebarluaskan maklumat mengenai manfaat FTA tersebut melalui laman sesawang Brunei Trade dan sosial media rasmi. Usaha pembarigaan ini diharap dapat menggalakkan aktiviti pengeksportan khususnya peluang bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menyertai rangkaian-rangkaian nilai global.
"Selain itu, negara ini juga memperolehi akses kepada program-program pembangunan kapasiti yang dihulurkan oleh rakan-rakan FTA sebagai platform untuk berkongsi amalan terbaik dan pertukaran pengetahuan mengenai peningkatan kualiti produk agar lebih kompetitif di arena antarabangsa khas untuk syarikat-syarikat tempatan.
"Sebagai contoh, pembangunan kapasiti bagi agensi peniaga persaingan dan perlindungan pengguna yang mana AANZFTA telah menyediakan bantuan bagi meningkatkan pengetahuan teknikal, kemahiran penyiasatan dan keupayaan mengendali kes di samping memupuk rangkaian yang kukuh bersama agensi-agensi di rantau ASEAN, Australia dan New Zealand," tambah Yang Berhormat.
Dalam pada itu kata Yang Berhormat lagi, KEPI akan sentiasa mengalu-alukan kerjasama dan libat urus strategik dengan sektor swasta, persatuan industri dan pihak-pihak berkepentingan bagi sama-sama memelihara kepentingan negara dan memanfaatkan perjanjian-perjanjian perdagangan bebas yang sedia ada dan akan datang.