Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
TUNGKU LINK, Selasa, 11 Ogos. - Sejak penubuhannya, Universiti Brunei Darussalam (UBD) sentiasa berazam 'Ke arah Kesempurnaan Insan'. Azam ini merupakan tujuan sebenar pendidikan tinggi, bukan sekadar untuk melahirkan graduan yang cemerlang dalam akademik, tetapi juga membentuk insan yang berakhlak mulia, pemikir dan berintegriti. Inilah matlamat yang tidak pernah berubah, walaupun dunia sentiasa mengalami perubahan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor UBD bertitah demikian sempena Majlis Konvokesyen UBD Kali Ke-38 bertempat di Dewan Canselor UBD, pagi tadi.
Pada hari ini, titah baginda, pendidikan turut berhadapan dengan perkembangan pesat Kecerdasan Buatan (AI). AI telah turut mengubah cara belajar, cara bekerja dan cara membuat keputusan.
Pada hemat baginda, universiti tidak cukup sekadar melahirkan graduan yang mahir AI. Tetapi lebih penting graduan yang mempunyai kebolehan menggunakan teknologi secara berhemah dan bertanggungjawab, mengutamakan nilai, adab dan perhitungan matang.
"Bagaimanapun, mengenai teknologi, beta menyambut baik pelancaran UBD Digital Transformation Blueprint sebagai hala tuju universiti dalam mentransformasikan pengajaran, penyelidikan dan tadbir urus melalui teknologi digital. Tetapi beta mahu UBD biarlah benar-benar menjadi peneraju dalam perubahan ini.
"Jadikanlah platform digital ini sebagai pemudahcara dalam menjelmakan matlamat sebenar iaitu melahirkan graduan yang cemerlang dan kemahiran tinggi," titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam lagi.
Dalam pada itu, tambah titah baginda, perlu pula diingat, bahawa kecemerlangan akademik sahaja tidak akan ada ertinya jika akhlak rendah atau rosak.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah Hadis sahih riwayat Al-Bukhari, Baginda bersabda maksudnya : "Sesungguhnya orang yang terbaik dalam kalangan kamu ialah mereka yang baik akhlaknya".
Atas kesedaran inilah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengalu-alukan usaha UBD melaksanakan Kurikulum GenBESTARI mulai September tahun ini.
"GenBESTARI bukan sekadar pembaharuan kurikulum, tetapi adalah satu pendekatan untuk melahirkan graduan yang seimbang, berilmu, berakhlak, berdaya tahan, celik digital dan sentiasa bersedia untuk terus belajar sepanjang hayat.
"Beta mahu kejayaan GenBESTARI tidak hanya diukur melalui bilangan program yang dilaksanakan, tetapi perkembangan pola fikiran dan peningkatan nilai insaniah setiap graduan mestilah juga diambil kira," titah baginda.
Selari pembaharuan ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menghargai usaha gigih UBD dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui bimbingan kerjaya dan latihan industri yang komprehensif sebagai langkah proaktif untuk mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan.
Titah baginda lagi, begitulah hendaknya, Institusi Pengajian Tinggi di negara ini hendaklah terus memperkasa kolaborasi strategik dengan pihak industri, serta sentiasa responsif dalam menyesuaikan program akademik dengan keperluan pasaran kerja.
Dengan persekitaran yang aman, titah baginda, stabil dan menjunjung tinggi nilai-nilai Islam, maka negara ini mempunyai keunikan tersendiri yang mampu untuk menarik pelajar dari seluruh dunia.
"Inilah jenama Brunei yang perlu kita pamerkan kepada dunia. UBD adalah nadi kepada jenama ini. Kehadiran pelajar antarabangsa adalah turut memperkukuh reputasi UBD," titah baginda.
Bertepatan dengan hasrat untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, maka baginda adalah menyambut baik projek Hab Inovasi UBD (UBD Innovation Hub) di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-12.
Kebawah DYMM berharap ia akan dapat turut memperkukuh budaya dan ekosistem inovasi kebangsaan yang mampu memudahkan peralihan hasil penyelidikan kepada produk pasaran. Titah baginda lagi, semoga inisiatif ini akan dapat melahirkan graduan yang mahir digital serta berdaya saing.
Terdahulu dalam titah, Kebawah DYMM bertitah menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah kita bersama-sama hadir di Majlis Konvokesyen Kali Ke-38 UBD pada pagi ini.
Kebawah DYMM dengan amat sukacita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing. Kejayaan ini titah baginda, tentunya merupakan hasil usaha serta doa para ibu bapa yang tidak berpenghujung.
“Akhirnya, beta mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga UBD, yang merangkumi para Ahli-ahli Majlis, Ahli-ahli Senat Universiti, Naib Canselor, pegawai-pegawai utama, ahli akademik, pegawai dan kakitangan universiti, serta semua pihak yang telah mencurahkan bakti mereka kepada institusi ini. Semoga segala usaha dan pengorbanan mereka mendapat ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata'ala," titah baginda.