Melahirkan generasi pengakap berdisiplin, berwibawa, berkemahiran

3 Og 2026 - 6:12am

Siaran Akhbar dan Foto : Open Troop Calamansi 1111

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 2 Ogos. - Open Troop Calamansi 1111 baru-baru ini meraikan ulang tahun penubuhan pasukan yang ketiga sejak ditubuhkan pada 1 Jun 2023.

Sambutan yang berlangsung di Pantai Muara berkenaan telah menghimpunkan ahli-ahli pengakap, para pemimpin, ibu bapa serta jemputan khas dalam suasana penuh muhibah dan kekeluargaan.

Majlis dimulakan dengan aktiviti kerohanian bagi peserta perkhemahan yang diadakan di surau pantai dengan menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah, diikuti dengan bacaan Surah Yaa Siin dan Doa Kesyukuran sebagai tanda kesyukuran atas perkembangan pasukan sepanjang tiga tahun penubuhannya, dan diteruskan dengan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah.

Selain itu, pelbagai aktiviti turut diadakan termasuk World Scout Scarf Day peringkat pasukan, senamrobik, dan juga kerja khidmat masyarakat dengan mengutip sampah di kawasan pantai.

Acara kemuncak ialah memotong kek ulang tahun penubuhan pasukan.

Majlis turut diselajurkan dengan Istiadat Penyampaian Lencana Keahlian Pengakap Sedunia kepada ahli-ahli yang telah berjaya memenuhi syarat-syarat keahlian.

Istiadat berkenaan merupakan detik bersejarah bagi setiap ahli kerana lencana tersebut melambangkan penerimaan mereka sebagai sebahagian daripada keluarga besar Pergerakan Pengakap Sedunia yang dianggotai oleh jutaan ahli di seluruh dunia.

Majlis turut diserikan dengan upacara pemakaian skaf, penyampaian lencana serta lafaz Persetiaan Pengakap sebagai simbol komitmen untuk terus berkhidmat kepada agama, raja, negara dan masyarakat.

Sepanjang tempoh tiga tahun berkenaan, Open Troop Calamansi 1111 telah menunjukkan perkembangan yang amat memberangsangkan melalui peningkatan keahlian, penganjuran pelbagai aktiviti kemasyarakatan, latihan kepimpinan serta program pembangunan sahsiah belia berlandaskan Persetiaan dan Undang-undang Pengakap.

Semoga sambutan ulang tahun penubuhan yang ke-3 berkenaan menjadi pemangkin kepada Open Troop Calamansi 1111 untuk terus melahirkan generasi pengakap yang berdisiplin, berwibawa, berkemahiran dan sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Majlis berkenaan diungkayahkan oleh Ahli jawatankuasa Pengakap Remaja dan Krew Pengakap Kelana Pasukan Calamansi.