Berita : Nurdiyanah Rajami
Foto : Ihsan Awang Haji Suni Haji Sulaiman
TUTONG, Isnin, 3 Ogos. - Dengan matlamat murni dalam sama-sama memartabatkan nilai sejarah dan warisan serta perkembangan Kampung Penanjong Tutong agar ia terus menjadi ristaan dan rujukan generasi penerus, satu majlis penuh bermakna yang dikenali sebagai Majlis Melestari Warisan Lanang Laut (WLL) Kampung Penanjong telah diungkayahkan oleh Majlis Perundingan (MPK) Kampung Penanjong dan Ahli Jawatankuasa Penerbitan Buku WLL Kampung Penanjong, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis yang diadakan di Pantai Persiaran Pengkalan Pinang Penanjong Tutong itu ialah Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Awang Suip bin Haji Abdul Wahab yang sekali gus menyempurnakan sesi pelancaran Buku WLL Kampung Penanjong.
Turut hadir di majlis berkenaan ialah Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Awang Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Awang Haji Abdul Rahim selaku jemputan khas; Ketua Kampung Penanjong, Awang Mohd. Ariffin bin Haji Akif; Ahli-ahli MPK Penanjong; Ahli-ahli Jawatankuasa Penerbitan Buku WLL Kampung Penanjong; penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung Daerah Tutong; serta penduduk Kampung Penanjong.
Dalam ucapan alu-aluan, Pengerusi Majlis Melestari WLL Kampung Penanjong, Awang Haji Mohd. Yakup bin Haji Osman antaranya mengongsikan tercetusnya idea untuk menerbitkan buku mengenai sejarah dan perkembangan Kampung Penanjong sebagai ristaan serta rujukan generasi akan datang ini bermula daripada luahan hati beliau sendiri sehingga idea tersebut diutarakan melalui satu perjumpaan kali pertama bersama beberapa orang rakan di sebuah restoran di Daerah Tutong pada 11 Julai 2020.
Jelasnya, atas sokongan rakan-rakan yang dalam perjumpaan tersebut, satu jawatankuasa telah dibentuk untuk menyelaras, merangka, menyusun dan mengemas kini pengisian buku yang akan diterbitkan. Jawatankuasa ini turut melantik seorang ketua penyelidik yang mempunyai banyak pengetahuan dan pengalaman tentang sejarah serta perkembangan Kampung Penanjong, iaitu Allahyarham Awang Haji Ramlee bin Tunggal.
Kongsi Awang Haji Mohd. Yakup lagi, penerbitan buku ini pastinya telah melalui banyak cabaran dan dugaan seperti terjejas kerancakan perjumpaan bersama ahli jawatankuasa akibat penularan dan peningkatan kes pandemik COVID-19 yang dihadapi sepanjang tahun 2020 sehingga 2022.
"Alhamdulillah buku ini yang dihasratkan akhirnya dapat juga dijelmakan dan menjadi kenyataan untuk ditatap dan dibaca oleh masyarakat hari ini. Walau bagaimanapun, ahli jawatankuasa merasa agak terkilan dan sedih kerana penulis utama buku ini yang juga selaku ketua penyelidik iaitu Allahyarham Awang Haji Ramlee tidak sempat menyaksikan penerbitannnya kerana telah kembali ke rahmatullah pada 14 Ogos 2024," luah beliau.
Awang Haji Mohd. Yakup turut menambah walaupun penerbitannya agak lambat mengambil masa lima tahun lebih tetapi hakikatnya buku ini dihasrat agar ia dapat memberi manfaat kepada generasi kini dan mendatang kerana pengisian kandungannya mampu mengimbau nostalgia yang berbentuk sejarah dan ilmiah yang sekali gus dapat menjadi rujukan golongan pelajar yang berhasrat membuat kajian mengenai sesebuah kampung suatu hari ini.
Beliau mengongsikan lagi, buku berkenaan mengandungi 20 kumpulan artikel yang dihasilkan oleh 10 orang penulis yang mencatatkan sejarah dan perkembangan Kampung Penanjong untuk dijadikan ristaan kepada penduduk Kampung Penanjong khususnya generasi muda.
Majlis turut diwarnai dengan beberapa persembahan seperti seni menambang syair berjudul 'Aduhai Si Lanang Laut' yang dipersembahkan oleh Dayang Hajah Rusni binti Tunggal dan persembahan silat seni yang diserlahkan oleh Gelanggang Cahaya Kilat, Perguruan Seni Pencak Silat Gerak Empat Satu.
Dalam pada itu, beberapa jenis barangan kraf tangan lama berasaskan seni anyaman yang diperbuat daripada buluh dan rotan seperti bakul dan nyiru serta pelbagai kuih tradisi Melayu turut menghiasi ruang pameran di majlis tersebut.