Manifestasi penghormatan terhadap kepimpinan, kewibawaan raja sanjungan rakyat

2 Og 2026 - 8:18am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin

BELAIT, Sabtu, 1 Ogos. – Kehadiran rakyat dan penduduk daripada pelbagai lapisan masyarakat memeriahkan Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Belait sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026, sekali gus mencerminkan hubungan yang kukuh, akrab dan berterusan antara institusi beraja dengan rakyat di negara ini.

Suasana penuh mesra dan harmoni yang mewarnai sepanjang majlis jelas menggambarkan rasa kasih, taat setia serta penghormatan yang mendalam rakyat terhadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Keakraban yang dizahirkan melalui majlis seumpama berkenaan terus memperkukuh semangat kebersamaan yang menjadi tunjang kepada keamanan, kemakmuran dan keharmonian Negara Brunei Darussalam (NBD).

Daerah Belait merupakan daerah ketiga bagi menjunjung keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bercemar duli ke Majlis Ramah Mesra pada tahun ini. Majlis berkenaan juga merupakan wadah yang sentiasa dinanti-nantikan oleh rakyat dan penduduk sebagai peluang istimewa untuk menjunjung kasih, menzahirkan kesetiaan serta menyampaikan rasa syukur di hadapan raja yang dikasihi, di samping mengukuhkan lagi ikatan muhibah yang sekian lama menjadi teras hubungan antara raja dengan rakyat.

Keberangkatan tiba Kebawah DYMM di Helipad Jalan Maulana, Kuala Belait dijunjung oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-80, Tahun 2026; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Sulaiman bin Alidin dan Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad.

Berangkat sama, paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Menteri di JPM; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Sekitar 2,700 penuntut sekolah beratur di sepanjang tepi jalan raya menuju Padang Bandaran, Jalan Sultan, sambil mengibarkan bendera-bendera kecil NBD termasuk barisan murid-murid sekolah rendah yang memegang bunga manggar dan turut dimeriahkan lagi dengan paluan hadrah bagi sama-sama mengalu-alukan keberangkatan Kebawah DYMM serta kerabat diraja.

Keberangkatan tiba Kebawah DYMM di Pentas Diraja, Padang Bandaran, Jalan Sultan, dijunjung oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri; Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Salminan bin Haji Burut; Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah), KHEDN, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan; dan Pemangku Pegawai Daerah Belait.

Sejurus keberangkatan tiba, Lagu Kebangsaan NBD, 'Allah Peliharakan Sultan' dinyanyikan diikuti dengan Persembahan Khas bertemakan ' Raja Terbilang, Rakyat Gemilang' yang dipersembahkan Kehadapan Majlis Kebawah DYMM dan kerabat diraja oleh para peserta terdiri daripada penuntut-penuntut sekolah kerajaan dan swasta di samping peserta daripada agensi kerajaan dan swasta.

Ini diikuti dengan laungan 'Daulat Kebawah Duli Tuan Patik' sebanyak tiga kali.

Kebawah DYMM berserta kerabat diraja seterusnya berkenan berangkat ke Pentas Persembahan Khas untuk sesi bergambar ramai bersama para peserta dan kemudiannya dijunjung berangkat bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Belait.

Berangkat mengiringi Kebawah DYMM ialah paduka-paduka anakanda dan adinda baginda.

Pada majlis berkenaan, Kebawah DYMM juga berkenan menerima beberapa pesambah yang disembahkan khas sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-80.

Antara yang menyertai bagi menjunjung keberangkatan baginda berserta kerabat diraja ialah para penduduk dari tujuh buah mukim di Daerah Belait, beberapa buah persatuan, warga emas, institusi pendidikan; syarikat-syarikat berkaitan industri minyak dan gas; syarikat-syarikat swasta; serta Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, dan Pasukan British Force Brunei.

Sejurus selesai bercemar duli, Kebawah DYMM berserta kerabat diraja dijunjung berangkat bagi Majlis Santap di Dewan Santap berhampiran Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Belait.

Pada majlis berkenaan, Kebawah DYMM berkenan memotong kek hari keputeraan baginda ke-80 tahun.

Baginda juga disembahkenalkan kepada empat individu yang memberi sumbangan signifikan kepada negara, iaitu Awang Reduan Yusop (Kategori Kesukanan); Dayang Dr. Vanessa Teo (Kategori Keusahawanan); Awang Ajis bin Haji Dollah (Kategori Kemasyarakatan) dan Dayang Dr. Mas Munira binti Haji Rambli (Kategori Pendidikan).

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah Daerah Belait, Yang Arif Mohamad Shah bin Haji Taip.

Sebelum berangkat meninggalkan Dewan Santap, Kebawah DYMM berserta kerabat diraja berkenan menerima junjung ziarah daripada ahli-ahli jawatankuasa tertinggi dan jemputan-jemputan khas.

Turut hadir, Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria, Yang Berhormat Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap.

Rakyat dan penduduk Daerah Belait merafakkan sembah tahniah dan menzahirkan doa agar Kebawah DYMM sentiasa berada dalam limpah rahmat, perlindungan dan inayah Allah Subhanahu Wata'ala, dilanjutkan usia, kesihatan yang berpanjangan serta kekal karar memerintah NBD dalam keadaan aman, makmur dan sejahtera.

Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk berkenaan merupakan acara keraian utama yang menghimpunkan seluruh rakyat dan penduduk untuk bersatu padu, berganding bahu, bersama-sama menyertai dan meraikan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM di keempat-empat daerah dengan tujuan menzahirkan rasa syukur, penghargaan serta ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi Kehadapan Majlis baginda.

Majlis berkenaan juga menjadi manifestasi penghormatan terhadap kepimpinan, kewibawaan dan kebijaksanaan baginda dalam menerajui NBD sehingga terus menikmati keamanan, kemakmuran, kestabilan serta kesejahteraan dan rakyat dapat menikmati kehidupan yang sejahtera, penuh kemajuan serta keharmonian.

Semoga Allah Subhanahu Wata'ala sentiasa mengurniakan Kebawah DYMM serta seluruh kerabat diraja perlindungan, rahmat dan keberkatan-Nya, melanjutkan usia baginda, kesihatan yang berpanjangan, serta kekal karar di atas takhta singgahsana kerajaan untuk terus memimpin NBD dengan penuh kedaulatan, keadilan dan kebijaksanaan.