Manfaatkan kemahiran, jana pendapatan sendiri

1 Og 2026 - 8:11am

Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah 

BERAKAS, Jumaat, 31 Julai. - Kesungguhan untuk mengubah nasib, disertai peluang dan bimbingan yang tepat, mampu menjadi titik permulaan kepada kehidupan yang lebih baik. Itulah semangat yang dipamerkan oleh beberapa peserta Program Dapur Impian Kasih, yang kini berjaya menjana pendapatan sendiri hasil kemahiran yang dipelajari.

Program pembangunan kemahiran tersebut bukan sahaja memberi latihan dalam penyediaan makanan tradisional, malah membimbing peserta membina keyakinan diri, mengurus perusahaan kecil serta membuka peluang menjana pendapatan secara mampan.

Semasa ditemu bual oleh Pelita Brunei, beberapa peserta yang mengikuti Program Dapur Impian Kasih yang menyertai Program Citarasa & Tautan Budaya Sarawak - Brunei 2026 mengongsikan pengalaman dan perjalanan mereka.

Bagi Dayang Nurul Nadiah binti Bolhassan, 40 tahun, dari Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Bukit Beruang yang tergolong dalam kalangan asnaf, penyertaan dalam program berkenaan telah mengubah arah kehidupannya.

Menurut beliau, telah banyak kemahiran asas menghasilkan kuih-muih tradisional yang telah beliau pelajari hasil daripada Program Dapur Impian Kasih. Tambahnya, melalui bimbingan tenaga pengajar pengasas program tersebut, Cef Mira Putra, beliau telah berjaya menguasai teknik penyediaan pelbagai juadah tempatan yang mendapat permintaan tinggi seperti Kelupis Kosong, Kelupis Udang dan Kelupis Daging.

Lebih bermakna, beliau berkongsi, para peserta turut menerima bantuan bahan mentah dan peralatan memasak sebagai modal permulaan bagi membolehkan mereka memulakan perusahaan kecil tanpa dibebani kos yang tinggi.

“Sebelum ini pendapatan saya sekadarnya, namun, selepas mengikuti program ini, saya mula melihat perubahan apabila hasil jualan sedikit demi sedikit membantu memenuhi keperluan keluarga,” katanya.

Walaupun baru menyertai program dalam tempoh yang singkat, beliau menyifatkan perubahan tersebut sebagai pembakar semangat untuk terus mengembangkan perusahaan makanan yang diusahakan. Beliau turut berharap lebih ramai ibu tunggal, balu dan golongan asnaf berani merebut peluang mengikuti program pembangunan kemahiran.

“Perubahan mungkin tidak berlaku dalam sekelip mata, tetapi dengan usaha yang berterusan dan bimbingan yang betul, kehidupan mampu berubah ke arah yang lebih baik,” ujarnya.

Kisah kejayaan turut dikongsi oleh Dayang Norhayati binti Abdul Wahab dari RPN Kampung Maragang, yang menyertai Program Dapur Impian Kasih selepas diperkenalkan oleh seorang individu yang prihatin terhadap kesukaran hidup yang dihadapinya.

Beliau berkata, selepas menjalani sesi temu duga yang dikendalikan oleh penyelaras program, Cef Mira, beliau diterima sebagai peserta dan mengikuti latihan secara berperingkat.

Sepanjang mengikuti program, beliau mempelajari pelbagai kemahiran menghasilkan makanan seperti Nasi Pulut, Kuih Lenggang dan beberapa produk tempatan lain yang kemudiannya dipasarkan ke kedai-kedai sebagai sumber pendapatan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada tenaga pengajar, Cef Mira, yang sentiasa memberikan tunjuk ajar, dorongan dan sokongan kepada semua peserta sehingga mereka yakin untuk memulakan perniagaan sendiri.

“Hasil kemahiran yang dipelajari, kehidupan saya kini semakin baik. Program ini bukan sahaja mengajar kami memasak tetapi juga memberi keyakinan untuk berdikari dan membina masa depan yang lebih cerah,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peserta yang merupakan ibu kepada dua orang anak turut berkongsi bahawa penyertaan dalam latihan kemahiran memasak telah membuka peluang untuk menjana pendapatan sendiri.

Dayang Norafsah binti Mohammad, 42 tahun menetap di Kampung Jerudong, kini menghasilkan pelbagai makanan tradisional seperti Bingka dan Kelupis yang dipasarkan ke beberapa buah kedai serta menerima tempahan mengikut kemampuan.

Beliau bersyukur kerana hasil jualan tersebut merupakan titik peluh sendiri dan menjadi modal pusingan untuk mengembangkan perusahaan kecil yang diusahakan.

“Pendapatan itu mungkin tidak besar tetapi ia memberi harapan dan motivasi untuk terus berusaha meningkatkan taraf hidup keluarga,” katanya.

Beliau turut menggalakkan lebih ramai ibu tunggal dan golongan yang memerlukan supaya tidak berputus asa serta memanfaatkan peluang mengikuti kursus dan latihan kemahiran yang disediakan oleh pelbagai agensi.

Program Dapur Impian Kasih membuktikan bahawa bantuan yang disertai latihan praktikal, bimbingan berterusan dan sokongan komuniti mampu melahirkan usahawan kecil yang berdikari.

Lebih daripada sekadar mengajar kemahiran memasak, program ini menjadi platform membina keyakinan, menyemai harapan dan mengubah kehidupan golongan ibu tunggal, balu serta keluarga kurang berkemampuan ke arah masa depan yang lebih sejahtera.