Oleh : Khartini Hamir
Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 26 Julai. - Majlis Tautan Ikatan Mesra Unit Petroleum dihasrat untuk menghimpunkan mantan-mantan pegawai dan kakitangan Unit Petroleum sama ada yang telah bersara ataupun masih berkhidmat dengan pihak kerajaan atau swasta bagi meraikan majlis ukhuwah silaturahim.
Majlis yang diadakan di Tarindak D'Seni, di sini, dihadiri lebih 90 orang mantan pegawai dan kakitangan Unit Petroleum, yang mana antara pengisian program utama mereka ialah membaca Tahlil dan Doa Arwah bagi pegawai-pegawai dan kakitangan yang telah kembali ke rahmatullah.
Unit Petroleum ditubuhkan pada 15 Jun 1982 dengan matlamat utama menjadi mata dan telinga kerajaan melalui aktiviti-aktiviti minyak dan gas serta arang batu di negara ini, dan setelah negara mencapai kemerdekaan, Unit Petroleum telah diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Di samping itu, Unit Petroleum juga menjadi sekretariat bagi Lembaga Minyak dan Gas Brunei (BOGA), penyelaras Mesyuarat-Mesyuarat Pre-Board bagi Ahli-Ahli Lembaga Kerajaan di dalam syarikat-syarikat Brunei Shell Petroleum (BSP), Brunei LNG Sendirian Berhad (BLNG), Brunei Shell Marketing (BSM), Brunei Shell Tankers Sendirian Berhad (BST) dan Brunei Gas Carriers Sendirian Berhad (BGC).
Dalam pada itu, Unit Petroleum juga turut serta sama ada selaku ahli ataupun ahli sumber kepada perwakilan negara di peringkat Menteri dan Pegawai-Pegawai Kanan di dalam beberapa pertubuhan di bawah APEC dan ASEAN termasuklah APEC, Asean Minister on Energy Meetings (AMEM) dan ASEAN Council on Petroleum dan lain-lain lagi.
Antara mercu tanda pembangunan industri minyak dan gas dalam mana Unit Petroleum melaksanakan peranan utama dalam kajian dan seterusnya perlaksanaan projek seperti penubuhan syarikat minyak kebangsaan BSP, BGC dan memperkenalkan sistem kontrak Production Sharing Contract bagi kawasan-kawasan perlombongan minyak termasuk bagi kawasan-kawasan laut dalam.
Pada bulan Oktober 2015, melalui penstrukturan organisasi, Unit Petroleum dan fungsi-fungsinya telah diserapkan ke dalam Jabatan Tenaga, selain dari itu sebahagian daripada fungsi jabatan tersebut kini dijalankan oleh Petroleum Authority (PA Brunei).