Oleh : Marlinawaty Hussin
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin, Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 29 Julai. - Kemeriahan dan semangat muhibah mewarnai suasana ibu negara pagi ini dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bercemar duli ke Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Brunei dan Muara bersempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 bagi Tahun 2026.
Majlis tersebut merupakan wadah yang dinanti-nantikan oleh rakyat dan penduduk daripada pelbagai lapisan masyarakat setiap tahun untuk menjunjung kasih serta beramah mesra dengan raja yang dicintai, selain memperkukuhkan lagi hubungan erat yang sekian lama terjalin antara raja dan rakyat.
Majlis berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar, selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-80 bagi Tahun 2026; Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-80 bagi Tahun 2026; dan Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim.
Berangkat sama, paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Sejurus keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Allah Peliharakan Sultan, diperdengarkan, diikuti dengan Persembahan Khas bertemakan ‘Menjunjung Raja Tampuk Negara’ yang mengetengahkan konsep pop tradisional.
Kebawah DYMM berserta kerabat diraja kemudian berkenan dijunjung berangkat ke pentas Persembahan Khas untuk sesi bergambar ramai serta beramah mesra bersama para peserta.
Kebawah DYMM berserta kerabat diraja seterusnya berkenan berangkat bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Brunei dan Muara.
Berangkat mengiringi Kebawah DYMM ialah paduka-paduka anakanda dan adinda baginda.
Majlis ramah mesra berkenaan disertai oleh jawatankuasa-jawatankuasa perayaan antaranya terdiri daripada Majlis Wanita Brunei; Kejohanan Silat Cekak Asli Melayu dan Pencak Silat Melayu; Perlawanan Tarik Kalat; Perlawanan Futsal; Perlawanan Sepak Takraw; dan Majlis Belia Brunei.
Juga menyertai, Aftercare Support Association (AFSA); Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD); Pertubuhan WARGAMAS; Majlis Perniagaan Wanita; Persatuan BASMIDA; Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei; Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB); Dewan Perniagaan India; Pasukan Radio Amatur Negara Brunei Darussalam; Royal Brunei Airlines (RB); BIMP-Eaga / BRUDIFA; Polsara; Dynamik Technologies; Pasukan Veteran Perwira ABDB; Brunei Shell Marketing (BSM); Perbadanan TAIB; CFBT; Persatuan Bank-Bank; Darussalam Assets Group of Companies; Baiduri Bank Sdn. Bhd.; Takaful Brunei Darussalam Sdn. Bhd.; Infocom Federation; Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam; Masyarakat Tiong Hua; Penuntut Seberang Laut; Institusi Pengajian Tinggi; Persatuan BERSATU; Pasukan Sekuriti Gurkha (PSG); Persekutuan Peniaga-Peniaga Melayu Brunei; Pengawasan Kejiranan; dan Hengyi Industries Sdn. Bhd.
Kemudian Kebawah DYMM berserta kerabat diraja berkenan berangkat ke Majlis Santap di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Bagi memberkati majlis tersebut, bacaan Doa Selamat dipimpin oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Dr. Haji Badaruddin bin Pengiran Abdul Rahman.
Pada majlis itu, Kebawah DYMM juga berkenan memotong Kek Hari Keputeraan yang disembahkan khas sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-80.
Sebelum berangkat balik meninggalkan Dewan Persantapan Dewan Utama, Kebawah DYMM berserta kerabat diraja berkenan menerima junjung ziarah daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan jemputan-jemputan khas.
Turut hadir, Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, Yang Berhormat Menteri-menteri Kabinet, Yang Mulia Timbalan-timbalan Menteri, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap.