Majlis Khatam Al-Quran, Doa Kesyukuran sempena Hafl Al-Takharruj UNISSA

29 Jul 2026 - 6:49am

Oleh : Pg. Syi’aruddin Pg. Dauddin

Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

KIARONG, Selasa, 28 Julai. - Seramai 411 bakal graduan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) petang tadi diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran dan Doa Kesyukuran sempena Hafl Al-Takharruj Ke-16 UNISSA yang berlangsung di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, di sini.

Hadir ialah Pemangku Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal dan isteri yang juga menyampaikan penyampaian sijil Khatam Al-Quran dan cenderahati kepada para bakal graduan.

Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan Surah Ad-Duha hingga Surah An-Nas beramai-ramai yang diketuai oleh Awang Muhammad Adi Syazani@ Muhammad Izz Raziq bin Shahri, bakal graduan Sarjana Muda Tahfiz dan Qira'at, serta diselajurkan dengan bacaan takhtim.

Bacaan Doa Khatam pula diketuai oleh Awang Muhammad Dzulkhairi bin Haji Ibrahim, bakal graduan Sarjana Muda Usuluddin ('Aqidah & Da'wah).

Acara turut diserikan dengan laungan Dikir Marhaban dan bacaan Doa Kesyukuran UNISSA yang dipimpin oleh Awang Muhd. Nur Nasrullah bin Abdullah Abdul Razak, bakal graduan Sarjana Muda Tahfiz dan Qira'at.

Majlis berkenaan merupakan salah satu acara tradisi tahunan yang diungkayahkan bagi menyemarakkan Sambutan Hafl Al-Takharruj UNISSA.

Ia antara lain bertujuan untuk membudayakan pembacaan Al-Quran di kalangan para mahasiswa dan mahasiswi selaras dengan hasrat negara untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir.

Di samping bagi menggalakkan penglibatan para mahasiswa dan mahasiswi dalam aktiviti keagamaan agar dijadikan sebagai amalan harian.

Usaha tersebut diharap dapat menyumbang kepada pembentukan generasi berilmu, beriman dan berakhlak mulia, sekali gus mencorak Khayra Ummah yang mampu memberikan sumbangan positif kepada agama, masyarakat dan negara.

Juga hadir, Pemangku Rektor UNISSA, Dr. Awang Haji Arman bin Haji Asmad; Penolong-penolong Rektor, pegawai-pegawai utama, pegawai dan kakitangan UNISSA, serta ibu bapa / penjaga bakal graduan.