Oleh : Aimi Sani
Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 14 Ogos. - Selain memeriahkan dan memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, Majlis Dikir di masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara juga adalah bagi mendapatkan keberkatan dan rahmat dari Allah Subhanahu Wata'ala serta memupuk kesedaran dan keinsafan umat Islam dalam mengenang jasa dan pengorbanan Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, dalam menyebarkan agama Islam.
Di samping itu, ia bertujuan untuk menanamkan rasa kasih dan cinta terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam serta memohon ganjaran teristimewa dan syafaat bagi orang-orang yang berselawat ke atas Baginda adalah amalan mulia dalam pembentukan jati diri umat Islam.
Sehubungan itu, bagi menghidupkan lagi Sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam, Majlis Bercorak Keagamaan sempena Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448 Hijrah terus diadakan bagi malam kedua di Istana Nurul Iman.
Antara yang hadir pada majlis berkenaan, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan ll, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah dan kemudiannya diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Sayyidul Istighfar beramai-ramai.
Majlis disusuli dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Awang Ashizal bin Zainal Abidin. Manakala tazkirah bertajuk 'Menyemai Cinta Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melalui Doa Penutup Sembahyang, Pelindung Kehidupan' disampaikan oleh Awang Haji Muhammad Najib bin Haji Awang.
Seterusnya majlis diteruskan dengan Dikir Assalaimualaika dan Asyrakal dari Kementerian Pertahanan, sementara Dikir Khairuman dari Jabatanarah Agama ABDB (JAMA'AT), manakala Ahli Jawatankuasa Tertinggi Belia Masjid Senegara pula membawakan Dikir Bisyahrin serta persembahan Dikir Al-Hamdu dan Dikir Badat dibawakan dari Jabatan Pengajian Islam (JPI), Bahagian Sekolah Arab.
Sementara bagi jemaah perempuan pula, majlis diadakan berasingan di Surau Istana Nurul Iman.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah dan kemudiannya diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Sayyidul Istighfar, disusuli dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.
Manakala tazkirah bertajuk 'Menyemai Cinta Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melalui Doa Penutup Sembahyang, Pelindung Kehidupan' disampaikan oleh Dayang Norhayati binti Haji Abdul Rahman.
Seterusnya, majlis diteruskan dengan persembahan Dikir Assalaimualaika dan Asyrakal dari Kementerian Pertahanan, sementara Dikir Khairuman dari Badan Persatuan Isteri-Isteri ABDB (BAKTI) dan Majlis Perundingan Mukim dan Majlis Perundingan Kampung Serasa, manakala Jawatankuasa Tertinggi Beliawanis Masjid Senegara pula membawakan Dikir Bisyahrin serta persembahan Dikir Al-Hamdu dan Dikir Badat dibawakan oleh JPI, Brunei I.
Antara yang hadir pada majlis berkenaan ialah para pegawai dari Kementerian Pertahanan, JAMA'AT, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Belia dan Beliawanis Masjid Senegara, Jabatan Pengajian Islam Bahagian Sekolah Arab serta Badan Persatuan Isteri-Isteri ABDB (BAKTI) dan Majlis Perundingan Mukim (MPM) dan Majlis Perundingan Kampung (MPK) Serasa.