Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 30 Julai. - Lebih 80 keping potret bertemakan 'Potret Kenangan Abadi - Raja Kesayangan Kami' dipamerkan kepada orang ramai sebagai tanda kasih sayang dan penghargaan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-80 Tahun.
Pameran berkenaan yang berlangsung di Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan mengetengahkan hasil karya enam jurugambar veteran yang masih aktif dalam bidang fotografi iaitu Awang Mohamad Haranadi bin Haji Buntar, Awang Haji Mohd. Husini bin Haji Bakar, Awang Haji Osmad bin Haji Daud, Awang Haji Rusdi bin Haji Abdul Latiff, Awang Haji Mursidi bin Haji Abdul Ghani dan Awang Haji Mohamad bin Haji Sulaiman.
Dalam ucapan alu-aluannya, Awang Mohamad Haranadi menjelaskan bahawa pameran tersebut bukan sekadar mempamerkan hasil seni fotografi, malah menjadi wadah untuk mengabadikan rasa kasih, taat setia serta penghormatan rakyat kepada seorang raja yang sentiasa dekat di hati rakyat.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebahagian daripada potret yang dipamerkan pernah dipersembahkan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa baginda berkenan berangkat ke Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien baru-baru ini.
Menurut beliau, pameran itu juga bertujuan mengenang jasa dan sumbangan baginda kepada negara, rakyat serta komuniti, di samping menyemai semangat taat setia kepada raja, mengeratkan hubungan antara raja dan rakyat serta menyerlahkan kewibawaan kepimpinan baginda yang sentiasa berjiwa rakyat.
Mengulas mengenai peranan fotografi, beliau berkata, fotografi merupakan bahasa universal yang mampu menyampaikan mesej tanpa memerlukan terjemahan, selain memainkan peranan penting dalam bidang pendidikan, industri kreatif, pelancongan serta pemeliharaan warisan dan sejarah negara.
Beliau turut berkongsi pengalaman merakam detik-detik bersejarah negara bermula daripada era penggunaan kamera analog ketika perisytiharan kemerdekaan pada tahun 1984, diikuti Sambutan Jubli Perak pada tahun 1992, Jubli Emas pada tahun 2017 sehingga perkembangan teknologi digital dan Kecerdasan Buatan (AI) yang dijangka terus mewarnai dunia fotografi menjelang Sambutan Jubli Intan pada tahun 2027.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa secanggih mana teknologi berkembang, AI tidak mampu menggantikan tiga elemen utama dalam fotografi, iaitu 'mata untuk melihat, hati untuk merasai dan jiwa untuk bercerita'.
"Gunakan AI dengan bijak sebagai pemangkin untuk terbang lebih tinggi, bukannya sebagai alat yang melemahkan kreativiti. Matlamat akhir fotografi tetap sama, iaitu mengabadikan kasih sayang, jasa, legasi dan sejarah untuk diwariskan kepada generasi akan datang," jelas beliau.
Mengakhiri ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat, Ketua Kampung Subok dan Pemangku Penghulu Mukim Kianggeh bersama Majlis Perundingan Mukim Kianggeh atas kerjasama sebagai rakan strategik dalam menjayakan pameran tersebut.
Pameran yang menghimpunkan lebih 80 potret bersejarah itu kini dibukakan kepada orang ramai, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung menghayati perjalanan kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui lensa fotografi yang sarat dengan nilai sejarah, kasih sayang dan kenangan abadi.