Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Ihsan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah Kampung Sungai Akar
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 7 Ogos. – Ke arah usaha mengukuhkan hubungan persaudaraan Islam merentas sempadan, seramai 70 ahli rombongan dari Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah (MRSB) Kampung Sungai Akar telah menyertai lawatan muhibah ke Bintulu, Sarawak yang berlangsung selama tiga hari melalui perjalanan darat.
Mengetuai rombongan berkenaan, Lt. Kolonel (B) Haji Nasir bin Haji Momin, dan Kolonel (B) Pengiran Dato Haji Azmansham bin Pengiran Haji Mohammad.
Rombongan turut disertai oleh Penaung-penaung Bersama MRSB, Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong dan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Program berteraskan ukhuwah, dakwah dan perkongsian komuniti berkenaan bertujuan untuk mengetengahkan ziarah ukhuwah bersama komuniti Islam di Bintulu yang menjadi wadah mempererat silaturahim, memupuk semangat persaudaraan serta mengukuhkan kerjasama antara institusi masjid di Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Sarawak.
Sepanjang lawatan, rombongan berkesempatan mengukuhkan dan membina silaturahim bersama para jemaah Masjid At-Taqwa RPR Sebiew Bintulu dan Masjid Daerah Bintulu, yang diserikan dengan sesi ramah mesra, pertukaran pandangan serta perkongsian pengalaman dalam memperkasa peranan masjid sebagai pusat pembangunan ummah.
Rombongan turut mengadakan lawatan ke Wisma Bintulu, Bintulu Development Authority (BDA) bagi mendapatkan pendedahan mengenai pembangunan dan kemajuan pesat kawasan Bintulu, selain mengunjungi beberapa lokasi menarik yang mempunyai nilai sejarah, ekonomi dan pelancongan.
Lawatan muhibah seumpama berkenaan bukan sahaja memperkukuh hubungan erat antara masyarakat Islam di kedua-dua buah negara, malah menjadi platform untuk memperluaskan jaringan kerjasama dalam pelbagai bidang keagamaan, kemasyarakatan dan pembangunan komuniti.
Program berkenaan turut mencerminkan komitmen MRSB dalam menyemarakkan semangat ukhuwah Islamiah, sekali gus memperkukuh hubungan persahabatan dan persefahaman serantau demi manfaat bersama.