Oleh : Siti Rokiah AbdullahFoto : Siti Rokiah Abdullah, Ihsan Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 30 Julai. - Seramai 29 pelajar daripada Tokyo Metropolitan Minami - Tama School dan Tokyo Metropolitan Hakuo High School, Jepun telah mengadakan lawatan sambil belajar serta menyertai Program Pertukaran Pelajar ke Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SM SMJA), pagi tadi.
Ketibaan rombongan pelajar berkenaan telah dialu-alukan oleh Pengetua SM SMJA, Dayang Hajah Aisah binti Haji Mohd. Salleh bersama barisan guru serta para pelajar sekolah tersebut.
Program berkenaan bertujuan memupuk persefahaman bersama, menjalinkan persahabatan antara pelajar Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Jepun, di samping mengukuhkan kerjasama dalam bidang pendidikan dan kebudayaan melalui interaksi secara langsung antara para pelajar kedua-dua negara.
SM SMJA dipilih sebagai destinasi lawatan kerana mempunyai tenaga pengajar yang fasih berbahasa Jepun serta menawarkan Kelab Bahasa Jepun yang aktif dalam kalangan pelajar.
Selain itu, sekolah berkenaan turut mempunyai pengalaman menganjurkan pelbagai program dan aktiviti yang melibatkan kerjasama antarabangsa.
Sepanjang lawatan tersebut, para pelajar berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti yang telah disusun bagi menggalakkan interaksi dan pertukaran budaya. Terdahulu, program dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengetua SM SMJA, diikuti ucapan daripada wakil delegasi Jepun.
Rombongan seterusnya dibawa melawat persekitaran sekolah bagi mengenali kemudahan serta suasana pembelajaran di SM SMJA. Para pelajar dari Jepun turut berpeluang mempelajari cara menghasilkan kikik, iaitu layang-layang tradisional NBD, selain berinteraksi dan bertukar pengalaman bersama pelajar-pelajar SM SMJA.
Program seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan persahabatan antara kedua-dua negara, malah memberi peluang kepada para pelajar untuk memperluaskan pengetahuan mengenai budaya, bahasa dan sistem pendidikan masing-masing, sekali gus menyemai semangat saling menghormati dan persefahaman dalam kalangan generasi muda.