Lawatan kerja tinjau kemajuan program pendidikan

9 Og 2026 - 6:12am

Siaran Akhbar dan Foto : Persatuan Pendidikan Khas

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Persatuan Pendidikan Khas (FITRAH) baru-baru ini telah mengadakan lawatan kerja ke sebuah organisasi pendidikan, iaitu Nisai Sdn. Bhd. (Nisai).

Lawatan kerja berkenaan diketuai oleh Presiden FITRAH, Dayang Hajah Norjum binti Haji Yusop; dan disertai oleh Timbalan Presiden FITRAH, Dr. Hajah Norbayah binti Haji Shahminan dan beberapa ahli exco FITRAH yang lain.

Tujuan lawatan berkenaan adalah untuk mengeratkan silaturahim, di samping itu ingin melihat dengan lebih dekat lagi mengenai program-program pendidikan yang terdapat di organisasi pendidikan berkenaan.

Ahli rombongan FITRAH dialu-alukan oleh Pengurus Nisai, Dr. Hajah Normawati @ Mawar binti Dato Paduka Haji Othman.

Semasa sesi lawatan berkenaan, rombongan FITRAH dan Nisai berpeluang bertukar-tukar pandangan dan buah fikiran dalam sama-sama menjayakan program pendidikan inklusif khusus dalam Program Pendidikan Khas.

Dalam pada itu, Dr. Hajah Normawati @ Mawar menjelaskan bahawa Nisai telah mendapat sokongan dari Department of Education (DfE) United Kingdom's (UK). Organisasi berkenaan juga telah melatih guru-guru Nisai seramai 30 orang terdiri daripada anak tempatan secara dalam talian sepenuhnya melalui program pendidikan.

Dr. Hajah Normawati @ Mawar juga mengongsikan bahawa Nisai turut menerima pengiktirafan terhadap kecemerlangan dalam penyediaan pendidikan inklusif Centre of Excellence (CoE).

Selain daripada pengiktirafan International Forums of Inclusion Practitioners (IFIP) Global Inclusion Award jelasnya lagi, Nisai juga telah menerima pengiktirafan atas sumbangan cemerlang dalam mempromosi amalan pendidikan inklusif. Program berkenaan telah dipaparkan dalam Good School Guide yang menekankan kepada kualiti dan inovasi.

Beliau seterusnya menambah, Nisai juga telah mampu memenuhi piawaian dalam aspek kualiti pengajaran dan pembelajaran, perlindungan serta kebajikan pelajar, kepimpinan serta tadbir urus kurikulum serta pentaksiran, selain sokongan terhadap kemajuan akademik, pembelajaran dan kesejahteraan pelajar.

Sementara itu, dalam program teknologi maklumat (IT) katanya lagi, Nisai telah memperkenalkan Digital for All Special Needs dengan menyediakan program Gifted and Talented khusus untuk anak-anak yang cerdas pintar dan berbakat.

Sehubungan itu, pihak FITRAH mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kerana sudi menerima lawatan mereka sekali gus berpeluang berkunjung ke pusat perkembangan IT yang dijayakan oleh Nisai. Antara projek mereka ialah Big BWN Project dan juga projek kerjasama dengan Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI).

Projek berkenaan melibatkan semua persatuan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan organisasi yang terlibat dengan mereka yang berkeperluan khas.

Nisai telah ditubuhkan pada 2019 di Negara Brunei Darussalam dan mula beroperasi pada tahun 2020 dengan penyediaan pendidikan yang dinamakan Education, Health and Care Plan (EHCP) bagi pelajar yang berumur 16 hingga 25 tahun.

Ibu pejabat Nisai terletak di Jalan Ong Sum Ping, Bandar Seri Begawan dengan keramaian kakitangan 20 orang.