Oleh : Muhamad Khairul Hisyam Haji Jaya
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
JERUDONG, Rabu, 18 November. - Seramai 110 graduan Micronet International College (MIC) diraikan pada Majlis Graduasi 2026 yang berlangsung di The Empire Brunei, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh.
Majlis turut dihadiri oleh Pengarah Urusan MIC, Sylvester Yong, pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan, para pensyarah, ibu bapa serta ahli keluarga graduan.
Para graduan yang diraikan terdiri daripada pelajar Program Pearson BTEC Tahap 1 hingga Tahap 5 dalam Bidang Pengkomputeran dan Perniagaan.
Pengurus Besar MIC, Sharon Chin, dalam ucapan alu-aluannya menyatakan pencapaian graduan merupakan satu mercu tanda penting dalam perjalanan pendidikan masing-masing.
Sepanjang mengikuti pengajian di MIC jelasnya, para graduan bukan sahaja berpeluang memperoleh pengetahuan akademik, malah turut membangunkan kemahiran praktikal, keyakinan diri serta pengalaman yang berguna sebagai persediaan menghadapi cabaran pada masa hadapan.
Beliau seterusnya berharap agar para graduan terus mencapai kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi, sama ada melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, memasuki alam pekerjaan mahupun menceburi bidang keusahawanan.
Pada majlis tersebut, dua graduan cemerlang turut menerima Micronet Special Merit Award 2026 sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik, dedikasi dan komitmen tinggi sepanjang tempoh pengajian mereka.
Penerima pertama ialah Awangku Muhd. Adam Firdaus bin Pengiran Haji Abdul Aziz daripada Program Pearson BTEC Level 5 Higher National Diploma in Computing, pengkhususan Keselamatan Siber.
Awangku Muhd. Adam Firdaus secara konsisten memperoleh gred ‘Distinction’ sejak mengikuti Program Pearson BTEC Level 3 in Computing, selain menunjukkan kreativiti, keaslian serta komitmen tinggi dalam menghasilkan tugasan akademik yang cemerlang.
Sementara itu, penerima kedua ialah Dayang Nor Ellie Matul Syaz Winnie binti Haji Mohd. Rafie daripada Program Pearson BTEC Level 5 Higher National Diploma in Computing.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian sijil kepada para graduan dan Anugerah Kecemerlangan Khas oleh tetamu kehormat, diikuti penyampaian tanda penghargaan oleh Pengarah Urusan MIC kepada tetamu kehormat serta sesi bergambar ramai.