Isu serantau jadi tumpuan Mesyuarat 15th ASEAN-AIPA Leaders’ Interface

19 Nov 2026 - 7:37am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat

MANILA, REPUBLIK FILIPINA, Rabu, 18 November. – Keterjaminan makanan dan tenaga, jenayah rentas sempadan, ekonomi digital serta perubahan iklim menjadi antara tumpuan Mesyuarat 15th ASEAN-AIPA Leaders’ Interface yang berlangsung di Philippine International Convention Centre (PICC), Manila, bersempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49.

Mesyuarat tersebut menghimpunkan Ketua-ketua Negara dan Kerajaan, serta wakil-wakil anggota ASEAN, bersama Ketua-ketua Delegasi Parlimen Negara-negara Ahli ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA), termasuk Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim, selaku Ketua Delegasi MMN.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden Republik Filipina, Tuan Yang Terutama Ferdinand R. Marcos Jr., selaku Pengerusi ASEAN 2026, menekankan kepentingan kerjasama antara kerajaan dan parlimen dalam menterjemahkan komitmen serantau kepada tindakan yang memberikan manfaat kepada rakyat, khususnya melalui perundangan, peruntukan belanjawan dan pengawasan parlimen.

Sementara itu, Yang Di-Pertua Dewan Perwakilan Republik Filipina, Tuan Yang Terutama Faustino “Bojie” G. Dy III, selaku Presiden ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA), telah menyampaikan Mesej AIPA yang menggariskan keutamaan terhadap keterjaminan makanan dan tenaga, kerjasama maritim, keselamatan siber serta pembangunan ekonomi digital yang inklusif.

Mesej tersebut turut menekankan perlindungan golongan rentan dan penglibatan parlimen dalam pelaksanaan agenda serantau.

Hasil Mesyuarat 15th ASEAN-AIPA Leaders’ Interface akan turut dibentangkan pada Perhimpunan Agung AIPA Ke-47 yang berlangsung pada 16 hingga 22 November 2026, di Manila, Republik Filipina.