Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah
BERAKAS, Jumaat, 31 Julai. - Usaha memperkasa golongan ibu tunggal, balu dan keluarga kurang berkemampuan melalui latihan kemahiran serta keusahawanan terus membuahkan hasil menerusi Program Dapur Impian Kasih, sekali gus membuka peluang kepada peserta menjana pendapatan dan meningkatkan taraf kehidupan mereka.
Semasa ditemu bual oleh Pelita Brunei, pengasas projek berkenaan, Cef Mira Putra atau nama sebenarnya, Dayang Faridah binti Haji Muhammad Taufik berkata bahawa program tersebut diwujudkan bagi memberi latihan dalam bidang penyediaan makanan, kuih-muih tradisional dan pengurusan perniagaan kecil kepada peserta yang memerlukan.
Menurut beliau, seramai 12 peserta daripada program semasa yang terdiri daripada ibu tunggal, balu dan keluarga kurang berkemampuan kini aktif menghasilkan pelbagai produk makanan untuk dipasarkan kepada orang ramai.
Beliau menjelaskan bahawa latihan yang diberikan bukan sekadar memfokuskan kepada kemahiran memasak, malah turut membimbing peserta agar mampu membina keyakinan diri dan menjadikan kemahiran tersebut sebagai sumber pendapatan yang berterusan.
“Inisiatif ini selaras dengan hasrat negara ke arah Wawasan Brunei 2035 untuk melahirkan masyarakat yang berkemahiran, berdikari dan berupaya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” jelas beliau.
Antara produk yang berjaya dihasilkan oleh peserta ialah Kelupis Udang, Kelupis Tahai, Kelupis Daging, Pulut Kuning Bersama Rendang, Penyaram, Bubur Lambuk serta pelbagai kuih tradisional seperti Seri Muka Pandan, Bingka Keladi, Bingka Jagung dan Sagu Pandan.
Bagi memastikan peserta dapat memulakan perniagaan dengan lebih yakin, Program Dapur Impian Kasih turut menyediakan bantuan modal permulaan hasil sumbangan para penderma dan pewakaf. Bantuan diberikan dalam bentuk peralatan serta bahan mentah yang disesuaikan dengan jenis produk yang diusahakan oleh setiap peserta.
Cef Mira berkata, hasil bimbingan yang berterusan, ramai peserta kini berjaya menghantar produk mereka ke beberapa premis jualan selain menyertai pelbagai ekspo makanan di negara ini.
Tambah beliau, setiap penyertaan dalam ekspo dirancang secara sistematik dengan pembahagian tugas mengikut kemahiran masing-masing, sekali gus memupuk semangat kerjasama, disiplin dan saling membantu dalam kalangan peserta.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur apabila melihat perubahan positif yang ditunjukkan oleh para peserta, khususnya dari segi keyakinan diri, semangat untuk berniaga dan kesungguhan meningkatkan taraf ekonomi keluarga.
Mengakhiri temu bual, beliau menyeru golongan ibu tunggal dan keluarga kurang berkemampuan supaya tidak mudah berputus asa dalam menghadapi cabaran kehidupan.
“Jangan takut untuk mencuba sesuatu yang baharu. Teruskan berusaha dengan penuh kesungguhan, jangan mengalah kepada kemiskinan dan sentiasalah bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Rezeki pasti akan hadir kepada mereka yang berusaha dengan ikhlas dan istiqamah,” katanya.
Beliau berharap Program Dapur Impian Kasih akan terus berkembang sebagai platform yang mampu melahirkan lebih ramai usahawan kecil yang berdaya saing, sekali gus meningkatkan kesejahteraan keluarga serta menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi negara.
Pada masa ini, para peserta di bawah Program Dapur Impian Kasihi menyertai Program Citarasa & Tautan Budaya Sarawak - Brunei 2026 yang sedang berlangsung pada 30 Julai hingga 2 Ogos 2026 di Dewan Muhibbah, Lapangan Terbang Lama Berakas.