Oleh : Nurul Rasyidah Mohamad Rosland
Foto : Mohammad Hasif Matzin
TEMBURONG, Isnin, 20 Julai. - Suasana Pentas Perayaan bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 bertambah meriah apabila persembahan 'live band' menampilkan lagu popular era 1980-an dan 1990-an yang menghiburkan para pengunjung hadir daripada pelbagai lapisan usia.
Persembahan yang berlangsung di Pentas Perayaan, Kawasan Dermaga, Pekan Bangar, Daerah Temburong itu dihadiri oleh Penghulu Mukim Zon 1, Daerah Temburong, Awang Arbi bin Haji Shahari selaku tetamu kehormat majlis.
Sebanyak 25 buah lagu daripada era 1980-an dan 1990-an dipersembahkan oleh AMP Band (Amplifier Band), sekali gus mengimbau nostalgia para peminat muzik.
Persembahan yang menampilkan pelbagai genre seperti balada, berjaya memikat perhatian para penonton yang turut sama menyanyikan lagu-lagu yang dipersembahkan.
Acara berkenaan bukan sahaja menjadi wadah hiburan kepada orang ramai, malah turut mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat yang hadir bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.
Penganjuran persembahan seumpama ini turut mencerminkan komitmen pihak penganjur dalam menyediakan aktiviti hiburan yang sihat dan sesuai dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, sekali gus menyemarakkan lagi kemeriahan sambutan perayaan ini.
Orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir menyaksikan persembahan Pentas Perayaan pada setiap malam diadakan sehingga 8 Ogos 2026, bagi sama-sama memeriahkan lagi Pentas Perayaan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80.