Oleh : Muhammad Zulkamal Awang Haji KamisFoto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. – Di dalam Dewan Majlis yang mulia ini, Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof dengan penuh hormat dan takzim, sukacita menyembahkan menjunjung kasih setinggi-tingginya serta menyokong sepenuhnya atas kurnia titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di atas beberapa perubahan utama yang melibatkan penubuhan dan pelantikan tiga Menteri Penyelaras bagi Dasar Keselamatan Negara, Dasar-Dasar Ekonomi dan Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia semasa Titah Perutusan Khas baginda sempena Rombakan dan Pelantikan, Menteri-menteri Kabinet dan Timbalan-timbalan Menteri yang baharu 2026 pada Khamis, 4 Jun 2026 Masihi.
Yang Berhormat juga sekali lagi dengan penuh hormat dan takzimnya, dengan penuh kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala sukacita menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih serta sokongan tidak berbelah bahagi ke Kehadapan Majlis baginda di atas mengurniakan titah-titah baginda yang sangat murni dan tinggi nilainya dengan penuh kebijaksanaan dan kewibawaan iaitu agar mekanisme penyelarasan akan terus memperkukuhkan pendekatan Whole if Government yang sentiasa ditekankan baginda dalam usaha mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.
Baginda juga seterusnya menekankan kerajaan hendaklah ‘sentiasa bersedia untuk menyesuaikan pendekatan dan keutamaan yang diperlukan supaya lebih responsif, efektif dan mampu memberikan impak yang nyata kepada rakyat’.
Dalam pengamatan Yang Berhormat, antara inti pati utama yang tersirat dalam titah baginda, yang sangat perlu diambil perhatian secara mendalam, serius diikuti dengan total komitmen lagi bersatu padu secara berkesinambungan dalam menanai serta memenuhi hasrat murni dan harapan tinggi seperti yang dimaksudkan titah baginda.
Cabarannya sekarang, jelas Yang Berhormat, bagaimanakah langkah dan formula pendekatan tindakan yang terbaik lagi berkesan mendatangkan impak yang sangat signifikan, dalam kita bersama-sama semua ‘stakeholders’ yang berkepentingan lagi yang dipertanggungjawabkan.
Ini termasuk Ahli-ahli Yang Berhormat, agensi-agensi kerajaan, pihak swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGOs) malahan melangkaui semua lapisan rakyat dan penduduk di negara ini, untuk bersama-sama berganding bahu bekerja keras untuk mengalas sepenuhnya hasrat murni baginda sehingga menjadi realiti, dinikmati dan dirasai oleh rakyat.
Ini ditambah lagi dengan cabaran ‘timeframe’ yang semakin hari semakin mendekat, sehinggakan kita tidak terasa sekarang hanya tinggal kurang lebih tujuh tahun setengah ke arah Wawasan Brunei 2035.
Dalam pada itu, Yang Berhormat ingin mengimbas kembali Titah Penutup Kebawah Duli Yang Maha Mulia sempena Persidangan Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet Ke-92 di mana baginda sangat prihatin dan mengambil perhatian yang sangat berat terhadap agen pemacu penyelarasan.
Dengan harapan supaya Menteri-menteri Penyelaras hendaklah menjadi penghubung utama dan menyatukan segala usaha, keutamaan dan tindakan kerajaan ke arah mencapai matlamat yang sama demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.
Seterusnya, bergerak seiring dengan matlamat yang dihasratkan sekali gus hendaklah berfungsi sebagai peneraju utama dalam menyelaras isu-isu merentas kementerian atau ‘cross-cutting issues’ yang melibatkan sektor-sektor di bawah bidang kuasa masing-masing.
“Setiap kementerian dan agensi-agensi kerajaan berperanan serta berfungsi mengikut bidang kuasa dan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan, di mana bertindak sebagai tonggak utama jentera penggerak-majukan melaksanakan perkhidmatan kerajaan, yang menjurus kepada agenda pembangunan negara. Tidak dinafikan, terdapat perancangan strategik dan kerangka-kerja pelan tindakan masing-masing bagi setiap kementerian dan agensi kerajaan.
“Dari hasil pemerhatian kaola, masih terdapat kepincangan dalam menyejajarkan dan menyelaraskan sesuatu dasar. Dasar yang penting yang perlu diutamakan, terutama sekali yang memacu landskap sosioekonomi negara serta kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini. Misalnya Ease of Doing Business dan Conducive Business Environment, termasuk menarik lebih banyak Pelabur Asing.
“Dari ‘feedback’ yang diperoleh, adanya terdapat dalam kalangan agensi-agensi berautoriti mendatangkan impak yang kurang memberangsangkan yang bertindak menimbulkan kesukaran yang sepatutnya selaku ejen fasilitator yang sebagai pemudah secara lebih efisien dan efektif dalam memberikan perkhidmatan,” jelas Yang Berhormat.
Salah satu cabaran yang perlu diambil perhatian bagi pendapat Yang Berhormat juga, ialah bagaimana cara untuk menggalakkan serta memudah cara dan menambah lagi jumlah peniaga-peniaga tempatan, mikro kecil dan sederhana bukan sahaja ‘start-ups business’ malahan mengembangmajukan perniagaan ataupun perusahaan.
Apa yang dimaksudkan, jelas Yang Berhormat, disebabkan masih wujud faktor-faktor yang menjadi rintangan apatah lagi tidak mendukung sepenuhnya, bagi menjayakan keberkesanan sesuatu dasar.
Contohnya : Ciri-ciri Ease of Doing Business dan Conducive Business Environment di negara ini masih belum mencapai tahap daya persaingan serta insentif tarikan lebih banyak pelabur asing jika dibandingkan dengan standard piawaian yang diamalkan bukan sahaja dalam kalangan negara ASEAN, malahan di peringkat antarabangsa, di mana sangat memerlukan pengemaskinian apatah lagi penambahbaikan.
Seterusnya, sokongan kemudahan fasiliti, infrastruktur dan utiliti yang terhad. Kemudian, kekurangan kemudahan-kemudahan (fasiliti) dan insentif bagi Pengusaha Mikro, Kecil dan Sederhana (kekurangan modal memulakan perniagaan dan menyebarluaskan perniagaan, pembiayaan kewangan dengan premium yang tinggi, jenis produk berbentuk ‘cottage industry’ tidak dibenarkan di rumah persendirian tidak dibenarkan, kurangnya bimbingan profesional sepenuh masa termasuk memantau perkembangan perniagaan dan pemasaran serta meningkatkan kemahiran (upskilling).
Kemudian, pemprosesan permohonan yang masih mengamalkan sistem yang ‘over-regulated’, bertindih-tindih (red-tape) dan ‘rigid’ serta dilaksanakan secara ‘fragmented’ di samping memakan masa untuk mendapatkan kebenaran dan kekurangan tenaga kerja yang berkemahiran dan profesional.
Dari itu, jelas Yang Berhormat, ada baiknya kajian dan penelitian komprehensif secara muhasabah merentasi kesemua agensi yang relevan termasuk isu yang dibangkitkan tadi dalam kita bersama-sama menambah baik, mengema skini malahan memperkesankan lagi tatacara mengharmonisasikan dan ‘streamlining’ penyelarasan dasar atau peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan menuju sealiran ke haluan yang sama.
“Ini adalah bertujuan meningkatkan kecekapan pelaksanaan serta mengurangkan birokrasi dalam menjadikan sesuatu proses lebih pantas, mudah dan menjimatkan sumber di samping memastikan koordinasi dan pelaksanaan dapat dilaksanakan dengan lebih efisien, efektif dan ‘transparent’ ke arah menggerakmajukan negara yang lebih progresif, dinamik dan ‘sustainable’,” ujar Yang Berhormat dalam perbahasan bagi usul menyokong penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22, MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang diadakan di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.