Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 6 Ogos. - Beberapa isu utama berkaitan Draf Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) menjadi tumpuan perbahasan pada hari ketiga Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin telah membangkitkan pandangan bahawa usaha ini sebagai satu langkah yang positif dan relevan ke arah meningkatkan lagi keyakinan rakyat terhadap integriti Ahli-ahli Yang Berhormat serta memperkukuhkan institusi MMN, selaras dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang menekankan amanah, integriti, akauntabiliti dan profesionalisme dalam tadbir urus negara termasuklah MMN ini.
Menurut Yang Berhormat, peranan Ahli MMN bukan sekadar satu kedudukan atau kehormatan, tetapi merupakan satu amanah awam yang berat lagi besar.
Yang Berhormat turut menyentuh mengenai Perkara 1.6 yang memperuntukkan bahawa kewajipan di bawah Kod Etika ini terus berkuat kuasa walaupun seseorang ahli telah tamat tempoh perkhidmatannya.
Menurut Yang Berhormat, kedudukan Ahli Yang Dilantik adalah berbeza kerana maklumat yang diterima lazimnya diperoleh melalui sesi muzakarah, dialog atau jawapan rasmi menteri bagi membolehkan ahli memahami sesuatu isu yang dibangkitkan oleh rakyat.
Oleh itu, Yang Berhormat berpendapat skop peruntukan kod ini tidak seharusnya dikenakan secara sama rata tanpa mengambil kira perbezaan fungsi dan tanggungjawab tersebut.
Pada hemat Yang Berhormat, bagi Ahli Yang Dilantik, pematuhan terhadap kod selepas tamat perkhidmatan wajar dihadkan kepada perkara yang melibatkan kerahsiaan atau kepentingan keselamatan negara sahaja, manakala bagi kewajipan lain, memadailah untuk satu tempoh yang munasabah, misalnya sehingga tamat satu penggal selepas ahli meninggalkan jawatan.
Yang Berhormat turut membangkitkan isu mengenai Perkara 6 berkaitan Konflik Kepentingan.
Dalam perkara ini, Yang Berhormat berpendapat sepanjang ahli memegang jawatan, pengisytiharan konflik kepentingan tidak seharusnya bersifat sukarela, tetapi diwajibkan mandatori terutama jika ahli mempunyai perniagaan atau transaksi perniagaan dengan kerajaan dan agensi kerajaan. Demi menjunjung prinsip integriti dan ketelusan, setiap ahli wajar membuat pengisytiharan secara berkala melalui 'annual statement' dan mengemas kini sebarang perubahan sebaik sahaja berlaku, tanpa perlu menunggu ia diminta.
Pada hemat Yang Berhormat, pengisytiharan tersebut juga wajar merangkumi kepentingan yang berkaitan dengan pasangan dan anak-anak tanggungan yang boleh menimbulkan tuduhan konflik kepentingan, lebih-lebih lagi apabila terdapat kepentingan atau urusan perniagaan dengan kerajaan atau agensi yang berkaitan dengan kerajaan, termasuk kontrak, aset, bangunan atau rumah yang disewakan kepada kerajaan atau agensi kerajaan, sama ada di dalam mahupun di luar negara.
Yang Berhormat seterusnya menyentuh isu kerahsiaan maklumat di bawah Perkara 7.
Menurut Yang Berhormat, terdapat perbezaan antara maklumat rahsia dengan maklumat rasmi.
Yang Berhormat berpendapat tidak semua maklumat rasmi seharusnya dianggap sebagai maklumat rahsia yang tidak boleh disebar atau dibincangkan.
Sebaliknya, maklumat rasmi yang diterima dalam menjalankan amanah ahli sewajarnya boleh digunakan secara bertanggungjawab untuk memberi penjelasan kepada rakyat tanpa bimbang atau andaian apa reaksinya daripada rakyat.
Kebimbangan Yang Berhormat ialah sekiranya skop 'memelihara kerahsiaan semua maklumat' ditafsirkan terlalu luas, ahli mungkin menjadi terlalu berhati-hati, sehingga bimbang untuk mengemukakan soalan yang sah justeru tidak memberi penjelasan 'feedback' kepada rakyat, kerana khuatir disalah tafsir.
Ahli akan menjadi 'overzealously cautious', seolah-olah setiap kenyataan yang dibuat berisiko dianggap sebagai satu pelanggaran.
Yang Berhormat juga mencadangkan supaya satu had nilai kewangan yang bersesuaian ditetapkan bagi penerimaan hadiah.
Mana-mana hadiah yang melebihi had tersebut sewajarnya ditolak dan diisytiharkan, manakala hadiah yang berada di bawah had berkenaan boleh diterima dan dilapor mengikut prosedur yang ditetapkan, ujar Yang Berhormat.
Pendekatan ini, terang Yang Berhormat, bukanlah bertujuan untuk menyukarkan ahli, tetapi untuk melindungi integriti ahli dan institusi Dewan, serta meningkatkan keyakinan rakyat, bahawa setiap keputusan adalah bebas daripada konflik kepentingan peribadi mahupun keluarga.
Sehubungan itu, Yang Berhormat mengesyorkan untuk dipertimbangkan satu 'clause' dalam Kod Etika khusus mengenai tatakelakuan Ahli Yang Berhormat apabila berurusan atau didekati oleh pihak ketiga, khususnya wakil kerajaan asing, agensi atau organisasi luar.
Ini termasuk menerima atau memohon sebarang tawaran tajaan, hadiah, perkhidmatan, ‘hospitality’, sumbangan atau usaha ‘lobbying’ yang berunsur memajukan kepentingan peribadi atau pihak tertentu, yang boleh menimbulkan tuduhan konflik kepentingan, jelas Yang Berhormat.
Ujar Yang Berhormat lagi, sebarang pendekatan sedemikian sewajarnya ditolak, diisytiharkan dan dilaporkan dan jika melibatkan urusan rasmi, hendaklah mendapat pandangan dan kelulusan bertulis terlebih dahulu, atau tindakan yang sewajarnya.
Sementara, Yang Berhormat turut membangkitkan prinsip ‘collective responsibility’ di bawah Perkara 2.2.
Menurut Yang Berhormat, prinsip ini penting bagi memelihara keyakinan terhadap institusi kerajaan, namun ia tidak seharusnya ditafsirkan sehingga menghadkan ruang ahli untuk mengemukakan ‘alternative views’, mengelakkan ‘difficult and painful discussions’ atau menghalang ‘legitimate scrutiny’. Sekiranya semua ahli hanya mengulangi pandangan yang sama, maka fungsi 'checks and balances' yang menjadi kekuatan institusi ini akan terjejas.
Mengakhiri perbahasan, Yang Berhormat berpandangan kod ini masih belum bersedia untuk diterima dalam bentuknya yang sedia ada pada masa ini, kerana ia melibatkan perkara-perkara kompleks, serta masih terdapat banyak cadangan penambahbaikan yang dikemukakan dan mungkin akan dikemukakan. Lebih-lebih lagi, proses pindaan selepas sesuatu kod diterima adalah lebih rumit dan mengambil masa.
Justeru, Yang Berhormat berpandangan adalah lebih wajar dan 'prudent', sekiranya kod ini dirujuk semula kepada pihak yang berkenaan untuk penelitian dan penyelarasan lanjut sebelum dibentangkan semula bagi mendapat sokongan Dewan.
Hal ini, menurut Yang Berhormat, perlu diberi perhatian agar Kod Etika ini menjadi satu dokumen yang bukan sahaja memelihara martabat MMN, malah memperkukuhkan peranan Ahli Yang Berhormat dalam berkhidmat demi kepentingan agama, negara dan raja.