Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 6 Ogos. - Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof menyokong sepenuhnya usul penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli MMN di peringkat permulaan untuk dikuatkuasakan pada tarikh yang bersesuaian dengan tertakluk kepada Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli MMN akan dikaji semula, di’review’ dan dikemas kini secara berkala dari semasa ke semasa.
Walau bagaimanapun, adalah sangat penting penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli MMN berpaksikan lagi serasi dengan iklim persekitaran negara yang berunsurkan syura, budaya kerja yang beretika dan nilai-nilai murni yang berlunaskan tata-susila yang beridentitikan kebruneian serta falsafah Melayu Islam Brunei (MIB).
Demikian merespons mengenai usul penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli MMN yang dicadangkan oleh Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Menurut Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan, di atas mukadimah dan juga penjelasan Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II mengenai penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli MMN yang sangat-sangat komprehensif dan mengucapkan terima kasih.
Dengan penuh hormat dan takzimnya juga, Yang Berhormat Ahli MMN, menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih dan menjunjung tinggi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 2025 pada 26 Februari 2025 bersamaan 27 Syaaban 1446 Hijrah mengenai, ‘keperluan penggubalan Kod Etika Ahli-ahli Majlis dalam melaksanakan tugas dengan lebih berkesan dan berintegriti tinggi’.
“Titah baginda yang murni ini mencerminkan kebijaksanaan, kewibawaan serta keprihatinan tinggi Baginda terhadap institusi MMN dalam memastikan setiap Ahli MMN penuh berintegriti, bertanggungjawab dan akauntabiliti serta mempunyai ciri-ciri dan tatatertib musyawarah dengan penuh permuafakatan untuk menjaga martabat dan institusi MMN agar terus mendapat kepercayaan dan keyakinan daripada rakyat dan penduduk.
“Dalam kesempatan ini juga, kaola merakamkan syabas dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua mereka yang terlibat dan pegawai-pegawai dari Jabatan MMN yang menyumbangkan pemikiran kritis dan bernas, bekerja dengan penuh dedikasi dan bertungkus lumus bekerja keras dan gigih lagi lutanan sehinggalah, Alhamdulillah berjaya menghasilkan penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan MMN,” ujar Yang Berhormat.
Alhamdulillah, Yang Berhormat juga berpandangan bahawa penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli MMN ini bukan sekadar dokumen pentadbiran semata-mata, bahkan ia merupakan ciri-ciri konsep syura yang menjadi teras pemerintahan Islam yang diamalkan sejak zaman Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan berkeyakinan bahawa penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli MMN ini bukan sekadar menjadi panduan kepada tingkah laku Ahli-ahli Yang Berhormat, bahkan merupakan satu manifestasi dalam memperkukuhkan amalan syura yang menjunjung musyawarah, kebijaksanaan, amanah, keadilan dan kebertanggungjawaban dalam setiap pertimbangan serta keputusan yang dibuat demi kepentingan agama, raja dan negara.
Dalam hubungan ini, tambah Yang Berhormat, semangat syura sewajarnya terus menjadi landasan dalam menzahirkan pandangan, idea dan perspektif secara berhemah dan bertanggungjawab berdasarkan pengalaman, kepakaran serta ilmu pengetahuan masing-masing.
Di samping menghormati perbezaan pandangan melalui musyawarah yang beradab. Lebih penting lagi, amalan syura mendidik setiap ahli untuk sentiasa mengutamakan maslahah ‘ammah’ (kepentingan umum), memelihara integriti, menghindari sebarang ‘conflict of interest’ serta menunaikan amanah dengan penuh keikhlasan lagi penuh ‘mas'uliyyah’ (tanggungjawab).
“Daripada pengamatan kaola, penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli MMN merupakan satu mercu sejarah bagi mengorak langkah transformasi yang signifikan dalam kita sama-sama memantapkan dan memartabatkan institusi MMN.
“Ini juga melambangkan komitmen yang tinggi ke arah memperkasakan tatakelola yang bertata-tertib, berintegriti, telus, berakauntabiliti, hormat-menghormati dan profesionalisme Ahli MMN,” tambah Yang Berhormat lagi.
Dalam kesempatan ini, Yang Berhormat juga membangkitkan ‘clause’ untuk diambil perhatian dan dipertimbangkan untuk dikemas kini dan memerlukan penjelasan lanjut.
Antara lainnya kongsi Yang Berhormat, Perenggan 1.6 mengenai Kebolehpakaian Kod Etika dan Tatakelakuan di bawah Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli MMN, khususnya frasa ‘selepas tamat tempoh perkhidmatan’ dan Yang Berhormat menyokong komen Jabatan Peguam Negara (AGC) agar yang dimaksudkan di perenggan ini hanya dihadkan kepada Perenggan 10, Etika dan Tanggungjawab Selepas Tamat Perkhidmatan sebagai ahli yang berhubung kait dengan kerahsiaan.
Terang Yang Berhormat, ini adalah kerana bagi pendapat Yang Berhormat, selepas tamat tempoh pelantikan jawatan, seseorang bekas ahli tidak lagi menjalankan tugas, kuasa dan tanggungjawab rasmi sebagai Ahli MMN.
Walau bagaimanapun, tambah Yang Berhormat, seseorang bekas Ahli MMN masih lagi tertakluk kepada apa jua undang-undang dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan di NBD sepertimana juga rakyat dan penduduk di negara ini.
“Adalah juga diambil maklum penggubalan kod ini mengambil kira ciri-ciri pendekatan amalan terbaik yang diguna pakai di beberapa negara luar. Dalam pada itu, kaola juga berpendapat dalam usaha memperkukuhkan dan nilai tambah Kod Etika dan Tatakelakuan lebih komprehensif sehingga sekurang-kurangnya mengikut standard piawaian parlimen di peringkat antarabangsa seperti Inter Parliamentary Union (IPU) dan Commonwealth Parliamentary Association (CPA), ada baiknya juga diteliti, diperbandingkan serta dipertimbangkan kesesuaiannya termasuk dari hasil kajian komparatif yang dilaksanakan oleh King PRAJADHIPOK’s Institute dengan kerjasama United Nations Development Plan (UNDP) Regional Centre Bangkok pada tahun 2008, melibatkan 11 buah negara termasuk di rantau ASEAN, Asia, Eropah dan Amerika di mana menggariskan kod etika bagi ahli-ahli parlimen merupakan antara komponen penting dalam memperkukuhkan sistem integriti sesebuah institusi perundangan,” ujar Yang Berhormat.
Yang Berhormat MMN selanjutnya mengimbas kembali, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 2025 mengenai dengan, ‘pengemaskinian ke atas prosedur dan proses kerja menurut Peraturan Majlis Mesyuarat (Standing Orders) bagi setiap ahli untuk mempraktikkan sepenuhnya’.
Yang Berhormat ingin mengetahui setakat manakah sudah perkembangan proses pengemaskinian prosedur dan proses Standing Orders itu, dalam kita bersama-sama menjunjung dan menanai sepenuhnya titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
“Akhirnya, marilah kita bersama-sama berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala serta memohon syafaat junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam semoga Kehadapan Majlis Kebawah DYMM dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam serta kerabat diraja sentiasa dikurniakan taufik, hidayah, rahmat, dilanjutkan usia serta berkeadaan sihat walafiat dengan penuh kesejahteraan yang berpanjangan dalam perlindungan dan diredai Allah Subhanahu Wata’ala jua serta negara sentiasa aman makmur,” doa Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan.