Oleh : Khartini Hamir
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Pg. Nurhafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof semasa membentangkan Usul Menyokong Penyelarasan ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035 pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis turut memberikan penerangan mengenai bidang-bidang keutamaan bagi kluster Keselamatan Negara.
Manakala bagi bidang-bidang keutamaan Ekonomi, Sosial dan Tenaga Manusia katanya, akan dijelaskan oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi; dan Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia.
Berdasarkan pengamatan, pemerhatian dan juga pengalaman Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II di sepanjang lapan tahun mempengerusikan Jawatankuasa Keselamatan Negara sejak tahun 2018, Jabatan Perdana Menteri telah mengenal pasti tujuh bidang keutamaan yang akan menjadi fokus utama bagi kluster Keselamatan Negara iaitu: 1) Jenayah dan Ketenteraman Awam; 2) Sekuriti dan Integriti Sempadan; 3) Keselamatan Siber; 4) Keselamatan Ekonomi; 5) Keterjaminan Makanan; 6) Keselamatan dan Keterjaminan Tenaga; dan 7) Keselamatan Sosial, yang mencerminkan pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Nation yang menyeluruh.
Menurut Yang Berhormat, hasil perbincangan bersama Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia telah mengupas isu-isu Keselamatan Negara dengan lebih mendalam seperti, dari sudut Keselamatan Ekonomi, perbincangan menyentuh keperluan mengimbangi pelaburan asing dengan pertimbangan keselamatan melalui ‘security vetting’, di samping memastikan manfaat dan peluang pekerjaan yang nyata kepada anak tempatan.
Selain itu, pembayaran gaji dan aliran wang (‘remittance’) keluar negara; serta penguasaan pekerja asing dalam sektor-sektor tertentu (seperti runcit, pertanian dan kantin sekolah) yang turut memerlukan perlindungan peluang perniagaan bagi anak tempatan, jelas Yang Berhormat.
Dari sudut Keselamatan Siber dan Ketenteraman Awam pula, perbincangan menekankan peningkatan ancaman siber, pusat penipuan (‘scam centres’) dan risiko penyalahgunaan teknologi, termasuk implikasi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence) terhadap masa depan pekerjaan.
Manakala dari sudut Keselamatan Sosial, perbincangan menyentuh isu pekerjaan yang perlu dilihat secara lebih mendalam dan bukan sekadar berdasarkan jumlah kekosongan, kebolehpasaran serta kesediaan anak tempatan; isu perumahan sebagai satu isu sosial yang penting; serta pengukuhan ekonomi akar umbi, dengan peranan institusi penghulu mukim dan ketua kampung di peringkat kepimpinan akar umbi dalam pemantauan dari sudut sosial, keselamatan, kebajikan dan penguatkuasaan.
Yang Berhormat seterusnya menegaskan bahawa bidang-bidang keutamaan ini akan terus diperhalusi secara bersama oleh Menteri-Menteri Penyelaras sebagai satu pasukan yang utuh, kerana kejayaan penyelarasan merentas kluster-kluster ini hanya dapat dicapai menerusi semangat kerjasama, saling melengkapi dan komitmen bersama ke arah satu matlamat, iaitu kejayaan Wawasan Brunei 2035.
Bagi mendukung pelaksanaan penyelarasan ini tambahnya, beberapa mekanisme tadbir urus turut dicadangkan dan sedang dilaksanakan, iaitu penubuhan Mesyuarat Penyelarasan Kluster Keselamatan Negara; pengemaskinian struktur dan keahlian Jawatankuasa Keselamatan Negara; serta penyelarasan senarai Majlis dan Jawatankuasa Kebangsaan sedia ada bagi mengelakkan pertindihan peranan.
Struktur ini terangnya, akan dinilai semula keberkesanannya selepas tempoh pelaksanaan selama satu tahun, bagi memastikan ia kekal relevan dan responsif terhadap keperluan semasa.