Keterjaminan bekalan tenaga asas keselamatan negara, pertumbuhan ekonomi

6 Og 2026 - 6:44am

Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani

Foto : Mohammad Hasif Matzin, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah menjelaskan, keterjaminan bekalan tenaga merupakan antara asas utama kepada objektif yang berkaitan dengan portfolio-portfolio penyelarasan dasar seperti yang telah dibentangkan, khususnya dalam mendukung keselamatan negara, pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Bekalan tenaga yang selamat, stabil dan mencukupi kata Yang Berhormat, memastikan kelangsungan perkhidmatan penting, menyokong aktiviti ekonomi, serta meningkatkan keyakinan pelabur.

"Sehubungan itu, pendekatan yang proaktif dan berpandangan jauh bagi memperkukuh daya tahan sektor tenaga memastikan negara sentiasa bersedia menghadapi sebarang ketidaktentuan geopolitik, gangguan rantaian bekalan mahupun cabaran luaran yang lain," ujar Yang Berhormat semasa membahaskan Usul Penyelarasan Pelaksanaan Wawasan Brunei 2035 pada hari kedua Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Menurut Yang Berhormat, antara langkah yang dilaksanakan ialah pengemaskinian Arahan Bahan Api ataupun Fuel Directive, termasuk kawalan terhadap pembelian produk petroleum bersubsidi.

Jelas Yang Berhormat, langkah ini bertujuan untuk melindungi keperluan domestik dan memastikan sumber bahan api negara digunakan secara berhemah.

Yang Berhormat seterusnya menyatakan, Jabatan Tenaga, Huluan dan Hiliran juga terus memantau inventori bahan api strategik negara dengan mengekalkan stok simpanan minimum 14 hari bagi Liquefied Petroleum Gas (LPG) dan 21 hari bagi produk petroleum, sebagai langkah kesiapsiagaan.

Tambah Yang Berhormat lagi, stok strategik ini menyediakan ‘buffer’ bagi keperluan negara sekiranya berlaku gangguan bekalan yang tidak dirancang.

"Kerajaan juga telah menubuhkan Komiti Kebangsaan Menangani Kesan Konflik Timur Tengah dan Perkembangan Semasa sebagai landasan penyelarasan Whole-of-Government bagi menilai risiko geopolitik dan menyelaras langkah mitigasi secara proaktif serta bersepadu, termasuk terhadap bekalan tenaga, rantaian logistik dan perkhidmatan kritikal," ujar Yang Berhormat.

Di samping memperkukuh kesiapsiagaan jelas Yang Berhormat lagi, jabatan turut meningkatkan keupayaan negara mengurus dan bertindak balas terhadap sebarang gangguan bekalan tenaga.

Yang Berhormat menambah, Jabatan Tenaga, Huluan dan Hiliran telah menyelaras pelaksanaan Business Continuity Plan (BCP) di seluruh rantaian nilai sektor tenaga, termasuk penilaian kemudahan kritikal, penyediaan prosedur operasi standard serta latihan simulasi dan padang (‘tabletop and field exercises’) bagi menguji tahap kesiapsiagaan semua agensi yang berkaitan.

"Crisis Management Team (CMT) juga telah ditubuhkan bagi menyelaras tindak balas terhadap sebarang insiden di sektor tenaga serta memperkukuh koordinasi antara agensi kerajaan, pihak industri dan kepimpinan akar umbi, agar keputusan dan tindakan dapat dilaksanakan secara tersusun, berkesan dan inklusif," ujar Yang Berhormat lagi.