Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 6 Ogos. - Persoalan mengenai status kerjasama kementerian dengan agensi berkaitan menilai perundangan sedia ada bagi mengenal pasti pengawalan dan penerima manfaat sebenar perniagaan, terutama milik warga asing, supaya sebarang jurang pemilikan dapat dikesan lebih awal melalui perkongsian maklumat dan penguatkuasaan rentas agensi, serta membendung amalan yang berpotensi menjejaskan pulangan ekonomi kepada negara, turut dibangkitkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin.
Menjawab persoalan tersebut, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin berkata bahawa Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri memberikan perhatian serius terhadap aspek tadbir urus perniagaan, ketelusan pemilikan serta pematuhan kepada peruntukan undang-undang yang berkuatkuasakan bagi mengenal pasti pengawalan dan penerima manfaat sebenar perniagaan, terutama milik warga asing supaya sebarang jurang pemilikan dapat dikesan lebih awal melalui perkongsian maklumat dan penguatkuasaan rentas agensi.
Menurut Yang Berhormat, mulai 25 April 2026, kementerian tersebut melalui Bahagian Pendaftaran Syarikat-Syarikat dan Nama-Nama Perniagaan (ROCBN) telah memandatorikan pemfailan pemilik berfaedah (Beneficial Owner) syarikat kepada Pendaftar Syarikat.
Ini adalah selaras dengan Financial Action Task Force (FATF) Recommendation 24 yang menggariskan langkah-langkah pencegahan pembersihan wang haram dan pencegahan pembiayaan keganasan serta penyebaran senjata pemusnah besar-besaran.
Tujuan utama langkah ini, jelas Yang Berhormat adalah bagi mendapatkan maklumat mengenai pemilik berfaedah (beneficial owner) syarikat iaitu pemilik saham utama (ultimate owner) di dalam syarikat tempatan ataupun syarikat asing.
“Berdasarkan maklumat terkini (26 Julai 2026), kadar pemfailan pemilik berfaedah adalah sebanyak 13.5 peratus iaitu melibatkan 1,301 buah syarikat daripada keseluruhan 9,633 buah syarikat yang berdaftar di Bahagian ROCBN.
“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 5.3 peratus berbanding kadar pemfailan semasa bulan April 2026 iaitu sebanyak 8.2 peratus,” ujar Yang Berhormat pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Kongsi Yang Berhormat lagi, bahagian ROCBN juga berperanan sebagai ‘source of truth’ bagi maklumat-maklumat berkaitan dengan syarikat yang berdaftar di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Bahagian ROCBN secara berterusan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan dalam perkongsian maklumat syarikat dan nama-nama perniagaan bagi memudah cara proses tawaran, pengeluaran lesen perniagaan, pelaksanaan tindakan penguatkuasaan dan sebagainya.
Yang Berhormat menjelaskan bagi memastikan ketepatan, keselarasan dan kualiti maklumat pemilik perniagaan, Bahagian ROCBN sentiasa bekerjasama secara berterusan bersama agensi-agensi yang berkaitan seperti Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan, Jabatan Perangkaan, Tabung Amanah Pekerja (TAP); Bahagian Hasil di Kementerian Kewangan, agensi-agensi keselamatan dan sebagainya.
Kerjasama erat itu, Yang Berhormat selanjutnya berkata, bertujuan memastikan maklumat berkaitan pemilik perniagaan, pengarah syarikat dan pemegang saham sentiasa tepat, terkini dan selaras merentas agensi.