Oleh : Muhammad Zulkamal Awang Haji Kamis
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 11 Ogos. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad menjelaskan bahawa sepanjang perbahasan, pelbagai perkara berkaitan pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat telah diketengahkan, termasuk peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi dan perusahaan, keterjaminan bekalan makanan, kemudahan dan perkhidmatan asas, transformasi digital serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Walaupun setiap perkara mempunyai cabaran dan bidang tanggungjawab yang berbeza, pada hemat Yang Berhormat, yang penting ialah keupayaan untuk menyelaras dan melaksanakan dasar serta perancangan dengan berkesan agar hasilnya benar-benar dapat dirasai oleh seluruh lapisan rakyat dan penduduk di negara ini.
"Alhamdulillah, Negara Brunei Darussalam (NBD) terus mencatatkan pelbagai kemajuan. Rakyat dan penduduk terus menikmati keamanan dan kestabilan, akses yang baik kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan, kemudahan asas dan infrastruktur serta perkhidmatan kerajaan yang sentiasa ditambah baik.
"Kemajuan ini dibina secara berterusan di bawah naungan dan kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
"Namun begitu, persekitaran global dan domestik terus mengalami transformasi, teknologi berkembang pesat dan jangkaan atau ekspektasi masyarakat semakin meningkat. Realiti ini sebenarnya menuntut satu pendekatan yang lebih holistik dan responsif dalam penyelarasan, pelaksanaan dan penyampaian perkhidmatan kerajaan," jelas Yang Berhormat lagi semasa menyampaikan perbahasan usul penangguhan pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, petang tadi.
Terdahulu dalam perbahasan usul penangguhan, Yang Berhormat mengucapkan terima kasih ditujukan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat atas segala saranan-saranan yang konstruktif yang sudah setentunya memberi nilai tambah kepada perbahasan dan penambahbaikan kepada dasar dan inisiatif kerajaan dan juga terhadap sikap kesabaran dan kefahaman yang bijaksana yang telah dipamerkan dalam perbahasan.