Kedai Kampung buka ruang masyarakat untuk berniaga

9 Og 2026 - 9:53am

Oleh : Dk. Hajah Naqayatul Akma Pg. Haji AliFoto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Kedai Kampung merupakan salah satu platform untuk membuka ruang kepada masyarakat kampung berniaga, memasarkan produk tempatan dan memperkukuh aktiviti ekonomi di peringkat akar umbi.

Namun, kejayaan dan peluasan inisiatif ini bergantung pada komitmen, kemahuan, keupayaan pengurusan dan daya maju perniagaan masyarakat setempat, termasuk peranan Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, dan bukan pada penyediaan premis semata-mata.

Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman semasa menjawab soalan yang diutarakan oleh Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin dan Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin.

Menurut Yang Berhormat, perkara ini juga selaras dengan Petunjuk Prestasi Utama Penghulu Mukim dan Ketua Kampung iaitu KPI 8 bagi mengukur ‘Jumlah produk 1K1P yang sedia ada atau baharu untuk dikembangluaskan dalam menjana perekonomian kampung / mukim’.

Sukacita juga Yang Berhormat Menteri ingin mengongsikan, berdasarkan Banci Majikan dan Pekerja iaitu setakat 1 April 2026, jumlah syarikat yang menjalankan kegiatan runcit termasuk perdagangan borong dan pembaikan kenderaan di negara ini adalah sebanyak 1,400 dengan jumlah tenaga kerja seramai 16,031 orang.

“Daripada jumlah tersebut, 6,572 orang adalah terdiri daripada pekerja tempatan manakala 9,459 adalah pekerja warga asing. Dari segi pemilikan pula, semua kedai runcit (1,400) adalah dimiliki oleh warga tempatan, namun sebahagiannya iaitu 482 syarikat (kedai runcit sahaja) mempunyai pemilikan bersama warga tempatan dengan warga asing,” kongsi Yang Berhormat pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Dalam konteks ini, terang Yang Berhormat, usaha memperkukuh penyertaan tempatan perlu dilihat secara menyeluruh, bukan sahaja dari segi pemilikan, tetapi juga penyertaan sebagai pengusaha, pembekal dan pekerja.

Kongsi Yang Berhormat, setakat 30 Jun 2026, sebanyak 2,776 kekosongan jawatan telah diiklankan melalui Pusat Pekerjaan Brunei yang bersesuaian untuk diisikan oleh pencari kerja tempatan berkelulusan 'O' Level dan ke bawah. Daripada jumlah tersebut, 766 jawatan telah berjaya diisikan oleh pencari kerja dalam kategori kelulusan yang sama.

“Pada masa ini, masih terdapat 2,010 kekosongan jawatan yang aktif diiklankan, termasuk 528 jawatan dalam sektor peruncitan (seperti Buruh Kedai dan Juruwang), yang juga sesuai untuk diisi oleh pencari kerja tempatan berkelulusan 'O' Level dan ke bawah.

“Walau bagaimanapun, bagi kategori kelulusan ini terdapat seramai 4,572 pencari kerja tempatan yang masih aktif mencari pekerjaan. Ini menunjukkan bahawa jumlah kekosongan jawatan yang tersedia masih belum mencukupi untuk pencari kerja anak tempatan, dengan wujudnya jurang sebanyak 1,796 jawatan antara bilangan pencari kerja aktif dan peluang pekerjaan yang ditawarkan,” jelas Yang Berhormat.

Dalam hal ini ujar Yang Berhormat, berdasarkan maklumat yang dikongsikan tadi dapat disimpulkan bahawa peluang-peluang pekerjaan untuk anak tempatan masih lagi tersedia dalam pasaran pekerjaan.

Walau bagaimanapun, cabaran yang perlu diambil perhatian adalah sejauh mana pencari kerja tempatan ‘kitani’ bersedia untuk merebut peluang-peluang tersebut dan mengisi jawatan-jawatan yang lazimnya diisi oleh pekerja asing, tekan Yang Berhormat.