Keamanan, kestabilan, kemakmuran negara nikmat besar daripada Allah

13 Jul 2026 - 10:18am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 12 Julai. - Keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara merupakan nikmat besar daripada Allah Subhanahu Wata'ala yang terhasil melalui keimanan, ketakwaan serta ketaatan kepada Allah Subhanahu Wata'ala, Rasul-Nya dan Ulil Amri.

Apabila pemimpin melaksanakan amanah dengan adil berlandaskan syariat Islam, manakala rakyat pula memberikan ketaatan, kerjasama dan sokongan yang bertanggungjawab, maka lahirlah suasana yang harmoni, bersatu padu dan saling mempercayai.

Demikian antara inti pati tazkirah bertajuk 'Ketaatan Kepada Raja Asas Kemakmuran Negara' yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah (MRSB), Kampung Sungai Akar, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Muhammad Tsuufiy bin Haji Abdul Wahab, dari MRSB, Kampung Sungai Akar bagi menyerikan Malam Munajat anjuran KHEU Kali Ke-237 Semarak Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, baru-baru ini.

Jelasnya lagi, keadaan berkenaan akan menghindarkan negara daripada perpecahan, persengketaan dan huru-hara, sekali gus mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pembangunan dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pendidikan, kesihatan, keselamatan dan kebajikan rakyat.

Dengan demikian tambahnya, keamanan dan kemakmuran negara dapat terus dipelihara serta diwarisi oleh generasi akan datang.

Menyemarakkan Program Malam Munajat berkenaan ialah Penghulu Mukim Kilanas, Daerah Brunei dan Muara; Ketua Kampung Bunut Perpindahan; Belia Masjid dan Ikatan Persatuan Belia Bunut (IKERAB) Kampung Bunut Perpindahan; ahli jawatankuasa takmir, para belia dan jemaah dari Masjid Kampung Bunut; MRSB, Kampung Sungai Akar; serta beberapa buah masjid dan surau di seluruh negara.

Turut menyertai, warga kerja KHEU dan individu yang mengikuti program berkenaan secara maya daripada kediaman masing-masing.

Atur cara Munajat malam berkenaan dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Penghulu Mukim Kilanas, Awang Ahmad Hussaini bin Mohsin, juga Penasihat Masjid Kampung Bunut yang bersiaran dari Masjid Kampung Bunut.

Diikuti dengan bacaan Surah Ar-Rahman beramai-ramai dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Bunut, JHEM, KHEU, Awang Abd. Muiz bin Haji Japar, dari Masjid Kampung Bunut.

Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid / Ketua Pemantau Zon 2, JHEM, KHEU, Awang Haji Muhd. Azrol Alim bin Haji Zaini, dari Masjid Kampung Bunut. Sejurus selesai tazkirah, acara disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Ketua Kampung Bunut Perpindahan, Awang Mohammad Khairoul Johani bin Haji Jumat, bersama Belia Masjid dan IKERAB Kampung Bunut Perpindahan dari Masjid Kampung Bunut.

Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam (NBD) dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Kampung Bunut, JHEM, KHEU, Awang Haji Shari bin Awang Murat, dari Masjid Kampung Bunut.

Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar NBD berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit. Semoga segala amalan kerohanian dan Doa Munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan http://tiny.cc/munajatkheu.