Oleh : Fathi Foad Abu Bakar
Foto : Mohammad Hasif Matzin, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Kementerian Kesihatan akan terus memperkukuh kapasiti perkhidmatan rawatan pakar melalui perancangan yang strategik, pembangunan modal insan, transformasi digital serta pengukuhan sistem penjagaan kesihatan secara menyeluruh.
Matlamat kementerian adalah untuk memastikan setiap pesakit terus mendapat akses kepada perkhidmatan rawatan pakar yang berkualiti, cekap, saksama dan mampan.
Perkara tersebut digariskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa menjawab pertanyaan bagi jawab lisan yang diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Lau How Teck pada hari kedua Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Yang Berhormat juga mengongsikan strategi jangka panjang bagi memastikan kapasiti perkhidmatan pakar terus berkembang sebagai sebahagian daripada transformasi sistem kesihatan yang menyeluruh, berfokus kepada akses, kualiti dan kemampanan. Keutamaan ini akan dipacu melalui iterasi baharu BruMAP, khususnya bagi memperkukuh pencegahan, pengesanan awal dan pengurusan klinikal Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) sebelum pesakit memerlukan rawatan pakar yang lebih kompleks.
"Pada masa yang sama, Kementerian Kesihatan terus memperluaskan kapasiti perkhidmatan pakar melalui pengenalan beberapa perkhidmatan baharu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, antaranya perkhidmatan rawatan ‘scoliosis’, pemindahan buah pinggang (renal transplant), pemindahan hati (liver transplant), Transcatheter Aortic Valve Implantation (TAVI), MitraClip, implan koklea (cochlear implant) serta penubuhan Makmal Diagnostik Bersepadu (MIDLAB), bagi memastikan rakyat dan penduduk mendapat akses kepada rawatan yang lebih komprehensif di dalam negara," tambah Yang Berhormat.
Menurut Yang Berhormat lagi, Kementerian Kesihatan turut meneroka penggunaan teknologi digital dan Kecerdasan Buatan (AI) bagi menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan, termasuk membantu mempertingkatkan ketepatan diagnosis, perancangan rawatan serta membuat keputusan klinikal, demi memastikan rawatan yang lebih tepat, cekap dan berkesan kepada pesakit. Ini penting kerana NCD seperti kanser, penyakit kardiovaskular, diabetes dan penyakit respiratori kronik kekal sebagai punca utama kematian dan morbiditi di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Yang Berhormat seterusnya menambah mengenai dengan kapasiti perkhidmatan pakar akan dikembangkan secara berfasa dan berasaskan keperluan penduduk, beban penyakit, keupayaan fasiliti, teknologi perubatan dan ketersediaan tenaga kerja. Ini juga akan memperkukuh penjagaan kesihatan asasi, laluan rujukan dan rujukan balik, supaya perkhidmatan pakar dapat difokuskan kepada pesakit yang benar-benar memerlukan kepakaran khusus.
Mengenai dengan penyelarasan tenaga kerja, Yang Berhormat menyatakan adalah pemboleh utama, termasuk perancangan latihan, pembangunan kepakaran, laluan kerjaya, perancangan penggantian dan pengekalan tenaga kerja kesihatan. Walaupun nisbah tenaga kerja kesihatan ketika ini ialah 23 doktor, tiga doktor gigi, 79 jururawat dan bidan serta dua ahli farmasi bagi setiap 10,000 penduduk, tumpuan Kementerian bukan sahaja kepada peningkatan bilangan tenaga kerja, malah memastikan gabungan kepakaran, pengagihan yang seimbang serta penggunaan tenaga kerja yang optimum bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan.
Pendekatan multidisiplin ujar Yang Berhormat akan diperkukuh melalui pengoptimuman peranan doktor, jururawat, allied health professionals, farmasi klinikal dan pasukan penjagaan kesihatan asasi bagi menyokong rawatan berterusan pesakit NCD.
Yang Berhormat juga mengongsikan mengenai dengan transformasi digital seperti Bru-HIMS 2.0, integrasi BruHealth, rekod pesakit yang lebih menyeluruh dan sokongan keputusan klinikal akan membantu perancangan kapasiti, rujukan dan kesinambungan penjagaan. Pelaksanaan strategi ini akan diselaraskan dengan Manpower Blueprint dan Wawasan Brunei 2035, khususnya dalam membangunkan rakyat berkemahiran tinggi serta meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.
"Matlamat akhirnya ialah memastikan pesakit mendapat rawatan yang tepat, pada masa yang sesuai, di tempat yang sesuai, dengan akses kepada perkhidmatan pakar yang lebih cepat, saksama dan mampan," ujar Yang Berhormat lagi.