Kapasiti penjanaan elektrik negara terus dipertingkat

6 Og 2026 - 6:38am

Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani

Foto : Mohammad Hasif Matzin, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Kapasiti penjanaan tenaga elektrik negara akan terus ditingkatkan melalui pembangunan Projek Loji Janakuasa Bukit Panggal Fasa Kedua, berkapasiti 215 Mega-watt dan Loji Janakuasa Berakas Power Company Fasa Kedua berkapasiti 132 Mega-watt.

Manakala Projek Cross-Border Interconnection disasarkan mencapai Final Investment Decision pada awal tahun 2027.

Perkara demikian dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah semasa membahaskan Usul Penyelarasan Pelaksanaan Wawasan Brunei 2035 pada hari kedua Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Pada masa yang sama jelas Yang Berhormat, campuran tenaga negara terus dipelbagaikan melalui pembangunan projek tenaga boleh diperbaharui.

Menurut Yang Berhormat, pembinaan loji tenaga solar berkapasiti 30 Mega-watt di Kampung Belimbing Subok yang dilaksanakan melalui kerjasama awam-swasta ataupun Private-Public Partnership (PPP) dijangka mula beroperasi pada penghujung tahun ini.

"Untuk memastikan tenaga elektrik dapat disalurkan secara cekap dan berterusan, penaiktarafan sistem penghantaran dan pengagihan tenaga elektrik giat dilaksanakan.

"Pelaksanaan projek-projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-12 (RKN12), termasuklah penyambungan rangkaian kebangsaan melalui Projek Perdayan 66 kilo-volt, insyaaAllah, akan meningkatkan kebolehpercayaan bekalan tenaga elektrik negara yang diukur melalui System Average Interruption Duration Index atau SAIDI," ujar Yang Berhormat.

Yang Berhormat menambah, kerajaan turut memberikan perhatian kepada pengurusan permintaan tenaga, antaranya melalui cadangan pelarasan struktur dan kadar tarif elektrik bagi sektor komersial dan perkara itu disentuh oleh Yang Berhormat Menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri semasa sesi pertama Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN pada awal tahun ini.

Jelas Yang Berhormat lagi, pelarasan ke tarif yang progresif bagi sektor komersial, yang dicadangkan pelaksanaannya pada tahun 2028 merupakan kesinambungan daripada pengemaskinian kadar tarif bagi sektor perumahan yang dilaksanakan pada tahun 2012.

Pelarasan ini tambah Yang Berhormat, akan memastikan struktur tarif yang lebih mampan dan berdaya saing, di samping menggalakkan penggunaan tenaga secara berhemah dan ia juga akan menyokong penaiktarafan infrastruktur bagi memperkukuh kebolehpercayaan dan keterjaminan bekalan tenaga elektrik negara.

"Kesemua usaha ini dilaksanakan bagi melindungi keterjaminan tenaga negara sebagai asas kepada kehidupan seharian, penyampaian perkhidmatan penting dan pertumbuhan ekonomi.

"Berlandaskan asas keterjaminan tenaga yang kukuh ini, sektor tenaga akan terus dimajukan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan perindustrian dan peningkatan daya saing negara," kata Yang Berhormat.

Dalam sektor huluan pula jelas Yang Berhormat, beberapa projek strategik sedang dirancang dan dilaksanakan bagi menyokong kesinambungan pengeluaran minyak dan gas negara, termasuk pembangunan projek-projek pesisir luar pantai seperti yang dikendalikan oleh Syarikat Petronas Carigali Brunei Limited (PCBL) dan Syarikat EnQuest, yang insyaaAllah akan memulakan pengeluaran pada tahun 2029.

Di samping itu tambah Yang Berhormat, pusingan pelesenan bagi beberapa blok yang masih belum dimajukan yang dilancarkan pada tahun 2025, ketika ini melalui proses penilaian daripada tawaran-tawaran yang diterima dan disasarkan untuk dimuktamadkan menjelang penghujung tahun ini.

Menurut Yang Berhormat, pembangunan sektor hiliran minyak dan gas merupakan antara sektor keutamaan yang telah dihuraikan oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri.

"Usaha ini akan terus diperkasakan melalui Pulau Muara Besar sebagai hab penapisan minyak mentah dan petrokimia, serta Sungai Liang Industrial Park (SPARK) bagi industri hiliran berasaskan gas. Pada masa ini, Projek Loji Penapisan dan Petrokimia Fasa Ke-2 dirancang akan memulakan pembinaan pada tahun 2027.

"InsyaaAllah, fasa ke-2 ini akan turut mengembangkan aktiviti lanjutan hiliran yang bernilai tambah tinggi, sekali gus memperluaskan lagi rantaian sektor hiliran negara," ujar Yang Berhormat lagi.