Kajian, pembangunan pacu kreativiti, inovasi, berdaya saing

4 Og 2026 - 8:48am

Oleh : Muhammad Zulkamal Awang Haji KamisFoto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof dalam perbahasan bagi usul menyokong penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 menjelaskan bahawa daripada kalangan negara-negara maju, Research and Development (R&D) adalah salah satu komponen yang sangat penting bagi mewujudkan sesebuah negara memacu kejayaan dan kecemerlangan bukan sahaja dari segi kreativiti, inovasi, ‘advancement’ berteknologi tinggi, berdaya saing, berdaya maju sekali gus memacukan terus-menerus perkembangan dinamika sosioekonomi negara.

“Pengajaran dan pengalaman tersebut, pada hemat kaola, R&D adalah wajar bukan sahaja untuk diambil perhatian tetapi diperluaskan dengan menyejajarkan dasar yang merentasi dan melibatkan pelbagai agensi yang berkepentingan agar lebih fokus dan berkesan dalam apa jua kajian, analisis dan hasil dapatan yang selayaknya dilaksanakan oleh institusi atau organisasi yang berkepakaran dalam apa jua bidang.

“Misalnya, kaedah penyelarasan transformasi digital secara ‘interoperability’ merentasi pelbagai agensi serta ‘stakeholders’ yang berkepentingan dalam mengimplementasikan keberkesanan projek dan inisiatif nasional yang menghasilkan signifikan impak kepada negara.

“Antara lainnya, Brunei Identity Digital, e-Gate, Digital Payment melalui Tarus QR, A.I-Capable Data Centre dan lain-lain. Langkah-langkah sedemikian ini berupaya mempercepat penerapan teknologi berimpak tinggi, menghindarkan pertindihan penyelidikan dan ‘scope of work’, di samping penggunaan ‘multipurpose’ dan lebih ‘cost effective’ lagi meningkatkan produktiviti, kecekapan serta penghasilan produk dan perkhidmatan yang lebih berkualiti, ‘efficient’, kreatif dan inovatif,” jelas Yang Berhormat pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22, MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang diadakan di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Ini sudah setentunya merancakkan lagi aktiviti perekonomian dan perniagaan yang lebih berdaya tahan ke arah mendepani era Industrial Revolution 5.0 di samping menambahkan keyakinan dan mengukuhkan kebolehpercayaan bukan sahaja dalam kalangan peniaga dan masyarakat tempatan malahan melangkaui pelabur dan warganegara asing yang menginginkan memulakan perniagaan di negara ini dan pelancong dari luar negeri.

Perlaksanaan projek-projek ini yang berlandaskan perancangan strategik, jelas Yang Berhormat, insyaaAllah akan mencapai ke arah Digital Brunei 2030 : The Digital Brunei Transformation Plan yang juga mendukung Wawasan Brunei 2035.

“Bagi Negara Brunei Darussalam (NBD), insyaaAllah mendapat keberkatan dan kerahmatan Allah Subhanahu Wata’ala, apa jua mustahak untuk diambil perhatian, bagaimanakah strategi dan langkah-langkah dalam meningkatkan pelaksanaan penerapan dan penghayatan prinsip-prinsip Maqasid Syariah bukan sahaja dalam kalangan jentera kerajaan, institusi-institusi pendidikan dan masyarakat di negara ini, malahan juga insyaaAllah sebagai ‘value added’ ‘Rahmatal Lil’alamin’ lagi diredai oleh Allah Subhanahu Wata’ala dalam usaha memperkesankan dan menjayakan transformasi penyelarasan dasar keselamatan, ekonomi, sosial dan tenaga manusia.

“Penyelarasan dasar yang berpaksikan Maqasid Syariah bukan sahaja menjamin keberkesanan tadbir urus dan demi mencapai kemaslahatan (maslahah) rakyat serta mengelakkan kemudaratan (mafsadah), malahan memastikan setiap dasar yang dilaksanakan insyaaAllah menjadi asbab musabab kepada keberkatan pembangunan negara, sekali gus memperkukuhkan usaha ke arah NBD yang dicintai sebagai Negara Baldatun Thayyibatun Warabbun Ghafur,” ujar Yang Berhormat mengakhiri perbahasan.