Oleh : Nurdiyanah Rajami
Foto : Ihsan Pusat Bahagia Daerah Tutong
TUTONG, Selasa, 27 Oktober. – Sebagai salah satu inisiatif bagi memberi peluang kepada murid dan pelatih Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk memasarkan hasil produk yang diusahakan melalui program Latihan Kemahiran Keusahawanan, Pusat Bahagia Daerah Tutong (PBDT), Bahagian Perkhidmatan OKU, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) hari ini telah mengungkayahkan acara Jualan Bulanan PBDT Kali Ke-6, Tahun 2026 bertempat di PBDT.
Melalui acara yang diadakan bermula pukul 9.00 pagi hingga 3.00 petang berkenaan, murid dan pelatih PBDT dapat mempraktikkan kemahiran yang dipelajari, memperoleh pengalaman dalam urusan jual beli serta meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran berinteraksi dengan orang ramai.
Acara berkenaan juga membuka peluang kepada masyarakat untuk mengenali, menyokong dan menghargai hasil usaha serta kebolehan golongan OKU.
Antara produk yang diketengahkan ialah hasil pertanian seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan tanaman, produk makanan seperti kuih sapit, bahulu, ‘waffle’ dan makanan bergoreng, produk jahitan seperti songkok, beg dan barangan jahitan lain, serta hasil kraf tangan yang dihasilkan oleh murid dan pelatih PBDT.
Selain itu, acara berkenaan turut memberi peluang kepada ibu bapa dan penjaga murid serta pelatih dan beberapa golongan penjual jemputan untuk menyertai jualan melalui produk yang mereka usahakan. Penyertaan berkenaan bukan sahaja menggalakkan aktiviti keusahawanan, malah mengukuhkan kerjasama antara pihak PBDT, keluarga dan masyarakat.
Dalam pada itu, pihak PBDT turut menaruh harapan tulus agar acara jualan bulanan berkenaan akan terus mendapat sambutan daripada orang ramai dan lebih ramai lagi yang akan datang memberi sokongan dengan membeli hasil produk murid dan pelatih mereka.
Selain itu, pihak penganjur juga berharap agar acara berkenaan dapat dikembangkan dari semasa ke semasa melalui peluasan saluran pemasaran, penambahan variasi produk dan kerjasama dengan lebih banyak pihak bagi membuka peluang yang lebih luas kepada murid dan pelatih OKU khususnya di pusat berkenaan.
Pihak PBDT juga berharap agar masyarakat akan terus memberi sokongan dengan membeli dan menghargai produk yang dihasilkan oleh murid dan pelatih. Sokongan berkenaan amat bermakna dalam membantu mereka membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran serta bergerak ke arah kehidupan yang lebih berdikari.
Secara keseluruhannya, acara berkenaan bukan sekadar platform jualan, tetapi juga merupakan ruang untuk mengetengahkan kebolehan dan potensi murid dan pelatih OKU sekali gus diharap masyarakat akan terus memberi peluang kepada golongan OKU untuk menunjukkan kebolehan mereka, kerana mereka juga mempunyai potensi untuk berjaya jika diberi sokongan dan peluang yang bersesuaian.