JPMC terus memperkukuh masa depan sektor penjagaan kesihatan

8 Og 2026 - 6:43am

Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani

Foto : Mohammad Hasif Matzin

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 7 Ogos. - Jerudong Park Medical Centre (JPMC) meraikan satu lagi pencapaian penting dalam komitmennya untuk membangunkan tenaga kerja penjagaan kesihatan masa depan Negara Brunei Darussalam (NBD) melalui Majlis Menandatangani Perjanjian Anugerah Biasiswa JPMC 2026.

Majlis menghimpunkan para penerima biasiswa, ahli keluarga serta para jemputan bagi meraikan permulaan lembaran baharu buat bakal profesional penjagaan kesihatan, di samping mengiktiraf kejayaan kumpulan pertama penerima Biasiswa JPMC.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Dewan Kuliah, Aras RF, Bangunan Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) berkenaan, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, yang juga selaku Pengerusi dan Pengarah Eksekutif JPMC.

Sementara itu, Pengurus Sumber Manusia JPMC, Jang Tracy Ramantan-McGlynn dalam ucapan alu-aluannya menegaskan semula komitmen berterusan organisasi untuk melabur dalam pembangunan modal insan sebagai asas kepada penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti.

Menurutnya lagi, setiap penerima biasiswa yang mereka sokong merupakan satu pelaburan bagi masa depan penjagaan kesihatan di NBD. Sejak program biasiswa berkenaan diperkenalkan pada 2023, komitmen mereka kekal sama, iaitu menyokong rakyat NBD yang berbakat untuk menceburi kerjaya dalam bidang penjagaan kesihatan serta melengkapkan mereka dengan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang diperlukan bagi membawa perubahan yang bermakna.

Majlis pada tahun ini turut mencatat satu lagi detik bersejarah apabila JPMC meraikan graduasi kohort sulung Penerima Biasiswa JPMC, dengan tiga penerima biasiswa berjaya menamatkan pengajian mereka dan bersedia untuk memulakan kerjaya profesional di JPMC.

Kejayaan mereka membuktikan keberkesanan program biasiswa berkenaan dalam melahirkan bakat tempatan serta memperkukuh tenaga kerja penjagaan kesihatan negara.

Hasil proses pemilihan yang teliti, JPMC menganugerahkan biasiswa kepada lima pelajar yang akan melanjutkan pengajian di JPMC College of Health Sciences terdiri daripada Dayang Nur'Aisyah Farzanah Batrisyia binti Ahmad yang akan mengikuti program Sijil Asas Sains (Foundation in Science) sebelum meneruskan pengajian ke program Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kejururawatan (Bachelor of Science in Nursing).

Sementara itu, Awang Muhammad Rizman bin Ratino, Dayang Nur Hafizah Rashidah binti Julkafli, Dayang Hajah Razan Dzarifah @ Naqibah binti Haji Zaini, dan Dayang Nursuhairatul Bazilah binti Muhammad Suhairman Abdullah Litoh/Mohamad Suhairman bin Litoh pula akan memulakan pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kejururawatan.

JPMC turut memperluaskan program biasiswa tahun ini bagi menyokong pembangunan profesional warga kerjanya melalui dua biasiswa khas untuk kakitangan dalaman.

Pegawai Saintifik Perubatan Kanan, Racheal Tang Lee Chau yang juga merangkap Ketua Unit Hematologi di Jabatan Makmal telah dianugerahkan biasiswa untuk mengikuti Ijazah Sarjana Sains dalam Hematologi dan Transfusi.

Sementara Dayang Era Nuvita @ Qanitah Inarah binti Sapar yang merupakan Jururawat di Bilik Bedah Pusat Maksilofasial, Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif, menerima biasiswa untuk melanjutkan pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kejururawatan.

Program Biasiswa JPMC mencerminkan pelaburan berterusan organisasi dalam membangunkan profesional penjagaan kesihatan tempatan serta menyokong aspirasi negara untuk membentuk tenaga kerja penjagaan kesihatan yang mampan dan berkemahiran tinggi.

Dengan menyediakan peluang kepada bakal profesional dan kakitangan sedia ada untuk melanjutkan pendidikan mereka, JPMC terus memperkukuh masa depan sektor penjagaan kesihatan di NBD, sekali gus memastikan para pesakit terus menerima perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi dan penuh belas ihsan untuk generasi akan datang.