Jerayawara tingkatkan kefahaman mengenai Tabung Dana Pembinaan Masjid

2 Og 2026 - 7:15am

Oleh : Marlinawaty Hussin

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BERAKAS, Sabtu, 1 Ogos. - Melalui penubuhan Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam (NBD), umat Islam di negara ini berpeluang meraih ganjaran pahala sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kepada mereka yang menyumbang ke arah pembinaan masjid.

Penubuhan tabung dana ini berperanan sebagai wadah berterusan untuk membolehkan umat Islam menyumbang kepada pembangunan masjid, sekali gus mengumpulkan ganjaran pahala, di samping membuka peluang untuk 'bertanam saham' sebagai bekalan di akhirat. 

Bagi memperkukuh kefahaman mengenai penubuhan serta peranan Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid NBD, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Unit Urusetia Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid NBD telah mengambil inisiatif mengadakan program jerayawara ke kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan di negara ini. 

Program tersebut disasarkan khusus kepada pegawai dan kakitangan kerajaan yang mula berkhidmat mulai tahun 2020 Masihi hingga kini, dengan tujuan untuk memberikan penjelasan yang lebih menyeluruh mengenai matlamat, objektif serta peranan tabung dana berkenaan. 

Sebelum ini, program jerayawara seumpama ini telah diadakan di beberapa buah kementerian di negara ini. 

Pada kali ini, jerayawara tersebut diteruskan khusus bagi pegawai dan kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan.

Acara berkenaan diadakan di Dewan Atria Simpur, Tingkat Bawah, Bangunan Ibu Pejabat, JKR.

Hadir pada jerayawara berkenaan ialah pengarah-pengarah dan penolong-penolong pengarah serta pegawai dan kakitangan dari JKR dan JHEM.

Sesi penerangan mengenai Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid NBD telah disampaikan oleh Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Haji Asminan bin Haji Chuchu.

Penerangan tersebut merangkumi latar belakang dan tujuan penubuhan tabung, kaedah serta mekanisme kutipan dana termasuk pelaksanaan skim potongan gaji, statistik kutipan dana, serta perkembangan dan perancangan projek pembinaan masjid yang telah dan akan dilaksanakan. 

Sesi tersebut turut disusuli dengan sesi soal jawab dan perbincangan yang memberikan peluang kepada para peserta untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara-perkara yang dibangkitkan.