Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BERAKAS, Isnin, 13 Julai. - Kejayaan meraih Anugerah Emas pada Majlis Anugerah Sekolah Mempromosi Kesihatan Health Promoting School Growing, Learning, Optimizing towards better Well-being in School (HPS GLOW) 2026 baru-baru ini, menjadi pengiktirafan terhadap komitmen berterusan sekolah dalam membudayakan amalan hidup sihat melalui penglibatan menyeluruh warga sekolah, ibu bapa dan komuniti di samping mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan menyokong kesejahteraan seluruh warga sekolah.
Bagi Kategori Sekolah Rendah, Sekolah Rendah Tanjong Kindana muncul sebagai antara penerima Anugerah Emas hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif yang menitikberatkan aspek kesihatan fizikal, mental dan sosial murid melalui pendekatan yang melibatkan seluruh warga sekolah.
Guru Besar Sekolah Rendah Tanjong Kindana, Awang Mohd. Salleh Hamidy bin Awang Julidy berkata, kejayaan sekolah berkenaan adalah hasil pelaksanaan Program HPS GLOW menerusi tema 'GLOW : Journey to Wellness', yang memberi penekanan kepada pembentukan gaya hidup sihat secara menyeluruh melalui pembelajaran secara praktikal dan penglibatan komuniti setempat.
Menurut beliau, antara projek utama yang dilaksanakan ialah 'Kebun Kitani', yang memberi peluang kepada murid menanam pelbagai tanaman makanan sebelum hasilnya digunakan dalam aktiviti memasak sihat dan diintegrasikan dalam pembelajaran STEAM bagi memberi pengalaman pembelajaran secara farm-to-table.
Selain itu, Projek Vibrant Walls melibatkan kerjasama erat antara murid, ibu bapa dan warga sekolah dalam menghias pasu tanaman dengan mural bertemakan gaya hidup sihat, sekali gus menjadikan kawasan sekolah sebagai persekitaran pembelajaran yang menggalakkan amalan hidup sihat.
Program Kebun Cilik pula memberi pengalaman kepada murid menuai hasil tanaman sendiri dan menyediakan makanan sihat sambil mempelajari nilai pemakanan, kebersihan serta kerja berpasukan. Manakala Program Water Wins! Sip Sip Hooray! membudayakan amalan minum air kosong melalui sistem pemantauan, ganjaran dan pelantikan Water Monitor dalam kalangan murid bagi memupuk tabiat hidrasi yang sihat.
"Kesemua projek ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada kesihatan fizikal, malah membina kemahiran kepimpinan, tanggungjawab, kreativiti serta kerjasama antara sekolah, ibu bapa dan masyarakat," ujar beliau.
Program HPS GLOW melibatkan sekitar 114 murid dari Pra hingga Tahun 6 serta 15 guru serta dibantu oleh kakitangan sekolah, dengan sokongan padu daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa, agensi kerajaan dan rakan strategik komuniti. "Penglibatan menyeluruh semua pihak inilah yang menjadi kekuatan utama sehingga sekolah berjaya menerima Anugerah Best PTA Engagement," tambahnya.
Beliau berkata, pelaksanaan program berkenaan telah membawa pelbagai perubahan positif. Antaranya, kadar penerimaan murid terhadap sayur-sayuran meningkat daripada 44.7 peratus kepada 95.2 peratus selepas mengikuti aktiviti Kebun Cilik.
Selain itu, amalan minum air kosong turut menunjukkan peningkatan yang ketara apabila bilangan murid yang mampu menghabiskan sebotol air 600 mililiter meningkat daripada 16.12 peratus kepada lebih 70 peratus, malah pernah mencapai 90.3 peratus.
"Dari sudut sahsiah, murid menjadi lebih bertanggungjawab, bekerjasama dan lebih menghargai alam sekitar melalui aktiviti berkebun serta pembelajaran berasaskan projek. Hubungan antara sekolah dan ibu bapa juga semakin erat hasil penglibatan aktif mereka dalam pelbagai aktiviti GLOW," jelas beliau.
Menurutnya, penganugerahan GLOW Gold School, Best GLOW Focal Person dan Best PTA Engagement Award bukanlah penamat, sebaliknya menjadi pemangkin untuk terus berinovasi dalam meningkatkan kesejahteraan murid serta melahirkan generasi yang sihat, berdaya tahan dan seimbang dari segi akademik, fizikal serta emosi.
"Harapan kami ialah agar budaya hidup sihat yang telah dibentuk ini dapat diteruskan sebagai sebahagian daripada amalan harian warga sekolah dan bukan sekadar sebuah projek.
"Kami juga berharap pengalaman Sekolah Rendah Tanjong Kindana dapat menjadi inspirasi kepada sekolah-sekolah lain bahawa dengan kerjasama yang kukuh antara sekolah, ibu bapa, komuniti dan agensi luar, sekolah kecil juga mampu menghasilkan impak yang besar," terang beliau.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan dan tenaga pengajar di Sekolah Menengah Muda Hashim, Tutong, Awang Haji Mohammad Farizam Haji Mohamed Yakob berkata kejayaan sekolah itu memperoleh Anugerah Emas adalah hasil pelaksanaan HPS GLOW secara menyeluruh berdasarkan empat matlamat utama, iaitu pemakanan sihat, kebersihan diri, aktiviti promosi kesihatan dan promosi kesihatan di tempat kerja. Kejayaan program ini banyak bergantung kepada kerjasama antara jabatan, di mana setiap jabatan menyumbang mengikut kepakaran dan kekuatan masing-masing.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan, antaranya kempen Fruits in My Diet, penyediaan makanan seimbang, program Bring Your Own Tumbler, bagi menggalakkan pengambilan air kosong, program pemantauan kebersihan kuku melalui My Personal Scentiva, pengumpulan data Indeks Jisim Badan (BMI), kempen Buli Dong Sa (Say No to Bullies), pelbagai program kesedaran kesihatan serta cabaran penurunan berat badan dan cabaran Strava bagi guru serta kakitangan sekolah.
"Kesemua program ini dirancang bagi membudayakan amalan hidup sihat dalam kalangan warga sekolah dan kejayaannya banyak bergantung kepada kerjasama semua jabatan yang menyumbang mengikut kepakaran masing-masing," katanya.
Program tersebut tambahnya melibatkan keseluruhan warga sekolah yang terdiri daripada 650 murid serta 95 guru dan kakitangan, sekali gus memastikan setiap warga sekolah memainkan peranan dalam menjayakan inisiatif kesihatan yang dirancang.
Menurut beliau, antara pencapaian yang membanggakan ialah kejayaan Program Bring Your Own Tumbler, yang menyaksikan majoriti murid dan guru kini membawa botol atau tumbler sendiri bagi mengisi semula air minuman di sekolah. Program My Personal Scentiva pula berjaya mengurangkan kira-kira 60 peratus bilangan murid yang berkuku panjang, sekali gus meningkatkan kesedaran terhadap kebersihan diri.
Dalam kalangan guru dan kakitangan, Cabaran Penurunan Berat Badan berjaya mencatatkan pengurangan berat badan keseluruhan sebanyak 170 kilogram, manakala murid turut menunjukkan peningkatan dalam pengambilan buah-buahan sebagai sebahagian daripada amalan pemakanan harian.
Beliau berharap budaya hidup sihat akan terus menjadi sebahagian daripada amalan harian warga sekolah dan tidak hanya tertumpu kepada pelaksanaan sesuatu program sahaja.
"Kami juga berharap lebih banyak program kesihatan dapat diterajui oleh murid sendiri. Apabila mereka diberi peluang untuk merancang dan memimpin aktiviti, mereka akan lebih bertanggungjawab serta mampu mempengaruhi rakan-rakan ke arah amalan hidup sihat. Dengan sokongan berterusan daripada ibu bapa dan komuniti, kami yakin usaha ini akan memberikan impak yang lebih besar dan berkekalan," katanya.