Hasil nasional perlu disejajarkan

6 Og 2026 - 4:53am

Oleh : Fathi Foad Abu Bakar

Foto : Mohammad Hasif Matzin, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Dalam usul Menyokong Penyelarasan Ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035 terlebih dahulu menjunjung kasih atas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa pembukaan dan penutup Persidangan Menteri-menteri Kabinet Ke-92 yang telah menggariskan dengan jelas kepentingan memperkukuhkan penyelarasan pelaksanaan Wawasan Brunei 2035 melalui pelantikan Menteri-menteri Penyelaras.

Langkah ini merupakan satu pembaharuan tadbir urus yang tepat pada masanya serta mencerminkan kebijaksanaan, keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk terus memperkukuhkan penyelarasan, mempercepat pelaksanaan dan memastikan usaha pembangunan negara dilaksanakan secara lebih bersepadu agar manfaatnya benar-benar dapat dirasai oleh rakyat.

Perkara tersebut diusulkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin pada hari kedua Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Yang Berhormat turut menyokong sepenuhnya usul ini serta pendekatan Whole-of-Government yang menjadi asas kepada penyelarasan tersebut.

"Kaola faham dan maklum bahawa banyak cadangan strategik telah pun dibincangkan termasuk pandangan dan cadangan yang telah kaola dan rakan-rakan ahli yang lain suarakan semasa perbahasan Wawasan Brunei 2035 pada tahun lalu.

"Negara juga tidak kekurangan rancangan dasar pelan ‘blueprint’ mahupun KPI. Fokus kita kini bukan lagi kepada lagi mengkhaskan kepada lebih banyak perancangan dan pelan tapi untuk memperkukuhkan pelaksanaan, ‘execution’, mempercepat penyampaian, ‘delivery’ dan memastikan hasilnya benar-benar dapat dirasai oleh rakyat.

"Dalam konteks ini, melihat kepada pelantikan Menteri-menteri Penyelaras sebagai satu mekanisme yang amat penting. Fokus kaola bukanlah untuk mempersoalkan pelantikan semula," ujar Yang Berhormat.

Yang Berhormat seterusnya berkata, sebaliknya memastikan bagaimana mekanisme ini berfungsi sebagai satu sistem penyelarasan yang mampu menangani isu merentas kementerian, ‘cross-ministerial issues’ dan mampu kukuhkan rangkaian penghantaran yang dikongsi bersama (‘shared delivery chain’) kerajaan serta mempercepat pencapaian hasil nasional (‘national outcome’).

Hasil nasional atau ‘national outcome’ yang dimaksudkan di sini dan ingin disentuh tambah Yang Berhormat lagi ialah khususnya berkaitan dengan pertumbuhan ekonomi, pengurangan kemiskinan dan keterjaminan bekalan makanan seperti yang juga telah dibincang oleh rakan Ahli-ahli Yang Berhormat yang lain semasa perbahasan pada Isnin yang lalu.

Yang Berhormat juga mengemukakan beberapa cadangan yang dapat membantu memperkukuhkan lagi pelaksanaan penyelarasan Wawasan Brunei 2035. Bagi memastikan pencapaian hasil nasional atau ‘national outcome’ tersebut, KPI yang sedia adalah perlu disejajarkan, ‘aligned’ ke arah pencapaiannya.

Tambah Yang Berhormat, kita tidak perlu ‘reinvent the wheel’ atau menambah KPI baharu, sebaliknya Menteri-menteri Penyelaras boleh memanfaatkan dan mensejajarkan KPI yang ada, sedia ada di kementerian-kementerian untuk menilai sejauh mana gabungan usaha kementerian menyumbang kepada pencapaian hasil nasional dan impaknya di peringkat negara dan bukan dilihat sekadar dari prestasi setiap kementerian secara berasingan.

Sebagai contoh kata Yang Berhormat, sekiranya salah satu hasil nasional atau ‘national outcome’ ialah pertumbuhan ekonomi. Maka persoalannya adalah, sejauh mana setiap dasar program dan KPI yang dilaksanakan oleh pelbagai kementerian benar-benar menyumbang kepada peningkatan pertumbuhan ekonomi negara?

Dalam hal ini kata Yang Berhormat, Negara Brunei Darussalam (NBD) sebenarnya mempunyai pelbagai kelebihan yang perlu dimanfaatkan, ‘leverage’ secara lebih strategik. Sebagai contoh, pensijilan halal, bukan sekadar memenuhi keperluan pematuhan, tetapi merupakan satu jenama dan aset ekonomi negara yang mempunyai potensi besar untuk membuka pasaran antarabangsa sekiranya keseluruhan ekosistemnya terus diperkukuhkan.

Begitu juga tambah Yang Berhormat, hasil penyelidikan, inovasi dan pembangunan teknologi daripada Institusi Pengajian Tinggi tempatan seperti UNISSA serta institusi lain. Potensi tersebut tidak seharusnya terhenti di peringkat pendidikan semata-mata, tapi perlu diterjemahkan kepada produk, perkhidmatan, teknologi serta perusahaan yang mampu menjana nilai tambah kepada ekonomi negara.

Dalam konteks ini jelas Yang Berhormat, peranan Menteri-menteri Penyelaras amat penting untuk memastikan usaha-usaha tersebut tidak bergerak secara berasingan mengikut kementerian atau agensi masing-masing, tapi diselaraskan sebagai satu ekosistem pembangunan ekonomi negara yang saling melengkapi melalui pensejajaran KPI yang sedia ada.

Yang Berhormat juga menjelaskan mengenai dengan pendekatan sedemikian bukan sahaja mampu memperkukuhkan penyelarasan, malah membantu memastikan KPI yang sedia ada bergerak ke arah matlamat yang sama, supaya pencapaian hasil nasional atau ‘national outcome’, dapat dirasai oleh rakyat.

"Sebagai contoh sekiranya negara menetapkan keterjaminan bekalan makanan sebagai satu hasil nasional, kerjanya tidak seharusnya diukur hanya melalui jumlah stok simpanan.

"Apa yang lebih penting ialah sejauh mana negara mempunyai sistem yang benar, berdaya tahan untuk menjamin bekalan makanan dalam apa jua keadaan. Ini memerlukan pendekatan yang lebih berpandangan jauh, ‘forward looking’ termasuk perancangan ‘scenario planning’, sepertimana yang telah disentuh oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II semasa perbahasan pada hari Isnin yang lalu,” ujar Yang Berhormat lagi.