Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
KAMPUNG MENTIRI, Ahad, 9 Ogos. - Keluarga merupakan asas pembentukan masyarakat yang harmoni. Menyedari akan kepentingan tersebut, Majlis Perundingan Kampung (MPK) dan Biro Wanita Kawasan 2 Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Mentiri mengungkayahkan Program Hari Keluarga Sekampung yang diselaraskan dengan Hari Keluarga Kebangsaan, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya melancarkan Hari Keluarga Sekampung yang berlangsung di tanah lapang, RPN Kampung Mentiri ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat, Ketua Kampung Subok dan isteri.
Sementara itu, Pemangku Ketua Kampung, Awang Haji Mohd. Nizam bin Haji Julaihi yang antara lain menggariskan, kepentingan mengeratkan hubungan silaturahim dan ukhuwah dalam kalangan penduduk kampung serta memupuk semangat kerjasama (gotong-royong) antara generasi tua dan muda.
Di samping itu, tambahnya, bagi mengenali jiran tetangga dengan lebih dekat demi keselamatan dan keharmonian kampung.
Antara acara yang menarik ialah peraduan 'Jaguh Kampung' yang merupakan pertandingan memasak secara berpasangan. Ini bertujuan untuk memupuk dan mengeratkan silaturahim dan hubungan kekeluargaan di samping memupuk kemahiran memasak dan kepentingan pemakanan sihat.
Selain itu, pelbagai acara dan aktiviti disediakan untuk pengunjung seperti vendor jualan minum dan makanan serta Booth Sales; Perlawanan Tarik Kalat antara Ahli Jawatankuasa dan Polis Kejiranan Cawangan Muara dan Sukan Ria bagi semua peringkat umur.
Program ini dirancang untuk mengumpulkan semua lapisan penduduk kampung bạgi memperkukuh institusi keluarga, mengeratkan silaturahim dan menyemarakkan semangat perpaduan (muhibah) antara jiran tetangga.
Dengan membawakan tema 'Silaturahim Terjalin, Komuniti Sejahtera', ia membawa maksud, apabila hubungan kasih sayang dan ikatan persaudaraan sesama jiran tetangga itu kuat, maka suasana kehidupan di dalam kampung akan menjadi aman, selamat dan makmur.