Eksesais Permata Hijau menguji tahap kesiapsiagaan, menyelaras, mengkoordinasi operasi

9 Og 2026 - 6:55am

Oleh : Pg. Syi’aruddin Pg. Dauddin

Foto : Pg. Mohammad Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) malam tadi melaksanakan satu latihan kecemasan bersepadu Eksesais Permata Hijau yang berlangsung di Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS), di sini.

Latihan berkenaan melibatkan kawasan jalan raya Jambatan SHOAS serta perairan Sungai Brunei di bawah jambatan berkenaan. Latihan tersebut dilaksanakan untuk menguji Prosedur Operasi Standard (Standard Operating Procedures - SOP) setiap agensi dalam menangani insiden kecemasan di Jambatan SHOAS serta sebagai usaha berterusan bagi menguji tahap kesiapsiagaan, menyelaras, mengkoordinasi segala tindakan serta menguji kecekapan operasi dalaman JBP dan kerjasama rentas agensi dalam menghadapi situasi kecemasan sebenar.

Antara senario utama yang dilatihkan adalah kemalangan jalan raya yang melibatkan jentera berat membawa tangki minyak yang seterusnya memerlukan pengendalian insiden bahan berbahaya (HAZMAT).

Latihan berkenaan juga melibatkan unit-unit khas lain seperti Unit Penyelam (Diver Unit) dan Pasukan Special Technical Rescue Assistance (SATREA) bagi pengurusan dan respons kepada operasi kecemasan yang memerlukan kepakaran bidang tugas masing-masing.

Selain itu, aspek pengurusan mangsa ramai (mass casualty management) turut dilatihkan bagi menilai keupayaan penyelarasan rawatan, pengasingan serta pemindahan mangsa dalam situasi kecemasan.

Bagi memastikan perancangan dan pelaksanaan operasi dijalankan dengan teratur dan berkesan, satu Table Top Exercise (TTX) telah diadakan lebih awal pada 27 Januari 2026 sebagai persediaan awal melibatkan semua agensi berkepentingan.

Latihan berkenaan melibatkan kerjasama pelbagai agensi, antaranya Pasukan Polis Diraja Brunei, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengangkutan Darat, Muara Port Authority Brunei Darussalam serta Brunei Shell Marketing.

Secara keseluruhan, kira-kira 250 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi telah terlibat dalam latihan ini.

Eksesais Permata Hijau berkenaan secara keseluruhannya telah berjalan dengan lancar, teratur dan selamat, sekali gus mencapai objektif yang ditetapkan dalam menilai keberkesanan pelan tindakan kecemasan, memperkukuh ‘interoperability’ antara agensi, menilai struktur perintah dan kawalan semasa operasi bersepadu serta mengenal pasti jurang keupayaan bagi tujuan penambahbaikan pada masa hadapan.

Eksesais yang diadakan di Jambatan SHOAS berkenaan telah disaksikan oleh Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategik, Dasar dan Korporat), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan; Pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat, Awang Azmi bin Haji Hafneh; serta pegawai-pegawai kanan daripada agensi-agensi yang terlibat.

JBP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kerjasama semua agensi yang terlibat serta sokongan orang ramai dalam memastikan kelancaran pelaksanaan latihan berkenaan demi mempertingkatkan tahap keselamatan dan kesiapsiagaan negara.