Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 6 Ogos. - Perangkaan daripada Bahagian Pendaftaran Syarikat-syarikat dan Nama-nama Perniagaan (ROCBN), permohonan penubuhan syarikat yang telah diluluskan telah menunjukkan peningkatan sebanyak 125.5 peratus iaitu sebanyak 354 buah syarikat telah didaftarkan pada tahun 2025 berbanding 157 buah syarikat didaftarkan pada tahun 2024.
Bagi tempoh enam bulan dalam tahun 2026 (1 Januari hingga 30 Jun 2026), sebanyak 200 buah syarikat telah pun didaftarkan.
Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin menyatakan demikian bagi menjawab persoalan yang diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof mengenai setakat manakah tahap pelaksanaan dari aspek penyejajaran, penyelarasan dan kesepakatan lebih bertransformasi merentasi agensi-agensi berkepentingan benar-benar merealisasikan dasar kerajaan yang lebih berkesan, efektif khususnya berkaitan dengan persekitaran Ease of Doing Business di negara ini bagi menarik lebih ramai lagi FDI serta peniaga-peniaga untuk mengembangmajukan aktiviti perekonomian negara.
Pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini, Yang Berhormat seterusnya menyatakan permohonan pendaftaran Nama Perniagaan (pemilik tunggal dan perkongsian) juga telah menunjukkan peningkatan sebanyak 3.9 peratus iaitu sebanyak 3,148 buah perniagaan didaftarkan pada tahun 2025 berbanding 3,029 buah perniagaan didaftarkan pada tahun 2024.
Bagi tempoh enam bulan dalam tahun 2026 (1 Januari hingga 30 Jun 2026), sebanyak 1403 buah Nama Perniagaan telah pun didaftarkan kongsi Yang Berhormat.
“Secara keseluruhan, permohonan pendaftaran Nama Perniagaan dan penubuhan Syarikat yang diluluskan dalam tempoh Tekad Pemedulian Orang Ramai (TPOR) iaitu satu hari pada tahun 2025 adalah pada kadar 85 peratus.
“Peningkatan jumlah Syarikat dan Nama Perniagaan yang didaftarkan dan kadar permohonan yang diluluskan dalam tempoh TPOR menunjukkan hasil yang positif daripada usaha-usaha penyejajaran, penyelarasan dan kesepakatan yang dilaksanakan oleh kementerian. Ini diharap akan dapat lagi mengukuhkan tahap keyakinan dalam kalangan komuniti perniagaan serta mendorong kepada perkembangan ekonomi negara,” jelas Yang Berhormat.
Sehubungan itu, Yang Berhormat berkata, dari aspek pemudahcaraan pelaburan, penilaian projek, pengurusan tapak perindustrian serta penglibatan bersama komuniti perniagaan, BEDB telah melaksanakan beberapa usaha penyelarasan rentas agensi merangkumi iaitu peranan sebagai agensi barisan hadapan dan pusat rujukan bagi memudah cara projek Pelaburan Langsung Asing (FDI), bermula dari peringkat perancangan, permohonan permit dan kelulusan, pembangunan dan pembinaan, sehingga projek memasuki fasa operasi dan pengembangan perniagaan.
Tambah Yang Berhormat, memperluas kerjasama dengan pihak kedutaan dan konsulat Negara Brunei Darussalam di luar negara, serta menjalin kolaborasi bersama dewan dan persatuan perniagaan tempatan dan pihak-pihak berkepentingan yang lain selain dari menganjurkan sesi dialog seperti BEDB Engagement Series dan MSME Roundtable Series sebagai platform yang menyediakan dialog melibatkan komuniti perniagaan dan agensi Kerajaan, terutama dalam menangani cabaran yang dihadapi oleh komuniti perniagaan.
Pada masa yang sama ujar Yang Berhormat, Meja Bantuan Perniagaan BEDB (BEDB Business Helpdesk) memberikan ruang kepada orang ramai dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan untuk menyalurkan permasalahan berkaitan ekosistem perniagaan yang memerlukan penyelesaian.
Secara keseluruhannya, kecekapan proses pendaftaran dan inisiatif pemudahcaraan pelaburan yang dilaksanakan ini bukan sahaja memperkasakan ekosistem perniagaan domestik, malah membuka peluang yang lebih luas bagi pembangunan PMKS tempatan dan penjanaan pekerjaan untuk anak-anak tempatan, tekan Yang Berhormat.
“Kementerian akan terus memperkukuh penyelarasan rentas agensi dan menambah baik kualiti penyampaian perkhidmatan demi menyokong perkembangan perusahaan tempatan serta menarik pelaburan berkualiti.
“Dengan pelantikan Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi ini ia akan mengukuhkan lagi penyejajaran, penyelarasan dan kesepakatan bagi Ease of Doing Business dalam menarik lebih ramai lagi FDI serta peniaga-peniaga untuk mengembangmajukan aktiviti perekonomian negara,” jelas Yang Berhormat lagi.