Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji AhmadFoto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Pengukuhan ekosistem pelaburan dan penambahbaikan faktor-faktor yang merangsang pertumbuhan ekonomi perlu terus diberi perhatian bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti.
Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim berkata dalam perbahasan bagi usul menyokong penyelarasan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22, MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, petang tadi, prestasi ekonomi yang kukuh mampu mengurangkan kadar pengangguran, memperbesar saiz ekonomi negara serta meningkatkan kuasa beli rakyat.
Menurut Yang Berhormat, beberapa aspek perlu diberi perhatian, antaranya memperkukuh ekosistem perniagaan supaya lebih kondusif dan mesra perniagaan, menyejajarkan dasar imigresen dan visa agar lebih menarik kepada pelabur tanpa menjejaskan keselamatan negara serta memperluas pendigitalan perkhidmatan kerajaan.
Selain itu, Yang Berhormat turut mencadangkan supaya Dasar Perindustrian Bersepadu diperkasakan, Dasar Pembangunan Perniagaan Tempatan diperkukuh bagi membantu PMKS tempatan serta dasar dan peraturan perbankan diperkemas bagi menyokong pertumbuhan sektor sebenar ekonomi.
Yang Berhormat berkata usaha memodenkan perkhidmatan awam serta memperkukuh dasar pendidikan bagi melahirkan tenaga kerja yang dinamik, kreatif, berdaya saing dan bersedia menghadapi masa depan turut menjadi prasyarat penting dalam merangsang pertumbuhan ekonomi.
Menyentuh mengenai Pelaburan Langsung Asing (FDI), Yang Berhormat berpandangan strategi sedia ada perlu dinilai semula supaya lebih berdaya saing dan mengambil kira perubahan landskap ekonomi global.
Yang Berhormat turut mencadangkan supaya fungsi Jawatankuasa FDI diperkukuhkan dan bidang kuasanya diteliti semula agar lebih responsif, mesra pelabur serta berorientasikan hasil.
Menurutnya lagi, maklumat mengenai pelaburan baharu juga wajar disalurkan secara telus dan berterusan supaya syarikat tempatan khususnya PMKS dapat memanfaatkan peluang kerjasama serta limpahan ekonomi daripada pelaburan tersebut.